Nur Jazlan perlu jalani pemeriksaan mental - Pemuda Pas

Nur Jazlan perlu jalani pemeriksaan mental – Pemuda Pas

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pemuda Pas mencadangkan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed menjalani pemeriksaan mental selepas melabelkan Tan Sri Abdul Hadi Awang mempunyai masalah psikologi dan kemurungan susulan kenyataan pemberian wang kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai sedekah.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ahli-ahli UMNO turut disaran berpakat kumpulkan dana bagi memberi sumbangan atau sedekah kepada Nur Jazlan untuk membuat pemeriksaan mental. 

“Saya baca kenyataan beliau (Nur Jazlan) berhubung isu ‘sedekah’ dan ‘rasuah’. Seorang lagi pemimpin UMNO yang pura-pura tidak faham konteks sedekah yang dimaksudkan iaitu pemberian wang daripada selain calon atau wakil calon dan tiada kaitan dengan calon. 

“Dan sekarang, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuka kertas siasatan, apa perlu dikalutkan? Apa yang pasti, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang juga Presiden UMNO sedang dan akan habiskan banyak masa ke mahkamah,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook miliknya malam tadi.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu memberitahu, hakikatnya Nur Jazlan dilihat mempunyai masalah psikologi apabila Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meminta Presiden UMNO berundur Pengerusi UMNO Johor sendiri bersetuju jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan, namun dia menongkah arus dengan berdiri menjadi penyokong tegar Presiden. 

“Katanya, UMNO Johor tidak bermesyuarat dalam hal ini. Benarkah? Atau dia sendiri sedang dipulau?

“Kasihan makhluk ini, bersungguh-sungguh menonjolkan diri kepada pimpinan partinya yang ada kuasa dalam kerajaan, berilah sesuatu kepada Nur Jazlan ini sebagai upah menyalak. Tiada isi, tulang pun ok,” ujarnya.

Ahmad Fadhli berkata, Pemuda Pas berharap Nur Jazlan dilantik mengetuai UMNO Johor bagi memudahkan tugas parti itu melawan negeri berkenaan pada masa hadapan.

Utusan Online semalam melaporkan, pemimpin Perikatan Nasional (PN) perlu melakukan sesuatu supaya masalah psikologi dihadapi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak berlarutan dan menjadi lebih kronik khususnya mengeluarkan kenyataan pemberian wang kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai sedekah.

Nur Jazlan Mohamed berkata, mereka perlu menyedarkan Ahli Parlimen Marang itu supaya banyak-banyak mengucap dan terima hakikat bahawa PN gagal jadi kerajaan walaupun menang banyak kerusi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya