Nasib jurulatih tampar dua pemain ditentukan lusa

Nasib jurulatih tampar dua pemain ditentukan lusa – Exco

TANGKAP layar insiden seorang jurulatih menampar dua pemain skuad bola tampar perempuan Melaka bawah 14 tahun yang tular dalam laman sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Untung nasib jurulatih skuad bola tampar perempuan Melaka bawah 14 tahun akan ditentukan Rabu ini, sama ada digantung tugas atau sebaliknya, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, VP. Shanmugam.

Beliau berkata, jurulatih serta dua pemain terlibat dalam insiden pada 16 Disember lalu akan dipanggil memberi keterangan dalam sesi yang turut dihadiri wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Tampar Amatur Melaka.

Jelasnya, pihak pengurusan skuad bola tampar yang menyertai Kejohanan Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 14 hingga 16 Disember 2022 juga akan dipanggil memberi keterangan.

VP. SHANMUGAM

“Hasil daripada pertemuan tersebut barulah kita dapat memutuskan sama ada jurulatih terbabit akan digantung atau sebaliknya.

“Sebelum kita membuat keputusan, pertemuan semua pihak perlu diadakan bagi mendapat maklumat dan keterangan lanjut daripada semua pihak, walaupun laporan penuh kejadian itu sudah dihantar kepada MSN semalam dan KBS esok.

“Kita juga harus meneliti rekod jurulatih itu sebelum ini sepanjang menjadi jurulatih dan sumbangannya juga harus diambil kira sebelum hukuman diambil,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dalam kenyataan memaklumkan telah mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara jurulatih tersebut, setelah kejadian itu tular dalam laman sosial.

“Buat masa ini jurulatih itu digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar
kebangsaan sehingga siasatan selesai,” kata kenyataan itu.

Tambah Shanmugam, bagaimanapun sehingga kini pihaknya belum menerima laporan daripada MAVA berhubung tindakan menggantung sementara jurulatih berkenaan.

Ujarnya, jurulatih terbabit juga telah memohon maaf kepada kedua-dua pemain sejurus tamat saingan separuh akhir, dengan menyaksikan Melaka tewas 2-3 kepada Johor.

“Jurulatih itu juga telah menemui kedua-dua ibu bapa pemain terbabit bagi memohon maaf, ekoran insiden tersebut di samping menjelaskan perkara yang sebenarnya terjadi.

“Saya anggap perkara ini sudah diselesaikan apabila ibu bapa dan pemain menerima permohonan maaf jurulatih itu dan mereka tidak berhajat untuk membuat sebarang laporan polis,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan rekod ia merupakan kejadian pertama berlaku sejak individu itu menjadi jurulatih.

“Dia adalah jurulatih yang sangat berdedikasi dan saya juga menyifatkan insiden tersebut tidak sepatutnya berlaku. Apa pun kita tunggu keterangan daripada semua pihak sebelum sebarang
keputusan dibuat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya