Nasib anak kapal MV Dai Cat terus jadi tanda tanya - Utusan Malaysia

Nasib anak kapal MV Dai Cat terus jadi tanda tanya

NURUL Hizam Zakaria menunjukkan lokasi terakhir dikesan sebelum menerima isyarat kecemasan EPIRB daripada kapal itu kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Nasib lima kru kapal Kargo MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 11 hari lalu terus menjadi tanda tanya apabila masih gagal dikesan hingga kini.

Kapal kargo membawa muatan 527 besi paip yang dianggarkan bernilai RM726,000 dikesan menghantar satu isyarat kecemasan ‘Emergency Position Indicatior Radio Beacon’ (EPIRB) di perairan Indonesia, pada malam kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihak Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo MV Dai Cat 06 yang dipercayai dikesan di republik itu pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima ‘Maritime Rescue Sub Centre’ (MRSC) Johor Bahru daripada ‘Maritime Rescue Control Centre’ (MRCC) Putrajaya, kapal tersebut masih belum dikesan.

“Makluman yang diterima pada 11 malam tadi, pihak Basarnas Republik Indonesia akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo MV Dai Cat 06 berdasarkan maklumat berkemungkinan kapal berada di perairan Indonesia.

“Hingga kini tiada maklumat terkini penemuan kapal berkenaan. Kita masih menunggu maklumat daripada pihak MRCC dan Basarnas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan sebuah kapal kargo yang membawa muatan besi paip dilaporkan hilang sejak 10 hari setelah berlepas dari jeti Kampung Acheh, Perak pada 23 Disember lalu dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember lalu.

Kehilangan kapal berkenaan terbongkar selepas ejen kapal membuat laporan polis kelmarin yang mendakwa kapal sepanjang 52 meter itu hilang dalam radar mereka.

Nurul Hizam berkata, lokasi terakhir kapal itu dikesan menerusi ‘Automatic Identification System’ (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia pada 0.2 batu nautika dari sempadan perairan Johor.

Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warganegara Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya