mySalam beri sinar harapan kepada hampir 2 juta rakyat - Utusan Malaysia

mySalam beri sinar harapan kepada hampir 2 juta rakyat

KRU mySalam yang sentiasa bersedia memberikan khidmat terbaik kepada komuniti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai hampir 2 juta golongan B40 yang dilindungi di bawah skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat (mySalam) menerima manfaat tuntutan diluluskan dengan jumlah keseluruhan hampir RM800 juta sejak dilancarkan pada 2019 sehingga kini.

Skim yang merupakan inisiatif kerajaan dan diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad (GETB) tersebut menyediakan perlindungan takaful kepada golongan B40 bagi melindungi diri apabila musibah kesihatan menimpa.

Ketua Pegawai Eksekutif GETB, Shahrul Azlan Shariman berkata, untuk tahun 2022 sahaja, sebanyak 482,721 tuntutan diterima dengan jumlah pembayaran bernilai RM350 juta.

YB Fahmi Fadzil turut serta dalam program outreach mySalam.

Katanya, tuntutan yang paling banyak diterima adalah tuntutan berkaitan Covid-19 iaitu sebanyak 346,761, diikuti manfaat hospitalisasi (106,116) dan penyakit kritikal (29,844).

“Tuntutan dan pembayaran paling tinggi yang dibuat melalui mySalam adalah berkaitan Covid-19 dengan nilai pembayaran lebih RM400 juta dari 2020 sehingga kini.

“Sementara itu, penyakit kritikal menjadi pembayaran tuntutan kedua tertinggi yang mana individu yang didiagnos salah satu daripada 45 penyakit kritikal akan menerima pembayaran tunai RM8,000 sekali seumur hidup,” katanya.

PROGRAM ‘reach out’ dan promsi mySalam dengan warga kampung di Telipok, Sabah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Menara Great Eastern, Jalan Ampang di sini, baru-baru ini.

Berbeza dengan produk takaful yang lain yang ditawarkan oleh GETB, golongan sasaran bagi skim itu adalah menurut ketetapan pihak kerajaan dan dikawal selia rapat oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

mySalam menyasarkan golongan B40, yang mana mereka adalah individu yang menerima bantuan tunai kerajaan, seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Sara Hidup (BSH) Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Sementara itu, Shahrul Azlan berkata, peserta juga layak menerima pampasan kemasukan hospital maksimum 14 hari dengan nilai RM50 sehari.

Beliau berkata, lebih unik lagi, peserta juga boleh membuat tuntutan kemasukan hospital tersebut dalam tempoh lima tahun dengan memuat naik surat kemasukan dan keluar (nota discaj) hospital dan salinan kad pengenalan di portal mySalam.

Tambahnya, individu yang layak juga boleh membuat tuntutan di kios mySalam yang berada di semua hospital kerajaan.

“Sehingga kini, kami mempunyai 143 kios mySalam di hospital-hospital kerajaan, hospital universiti dan hospital angkatan tentera di seluruh negara yang akan membantu orang ramai untuk pertanyaan atau membuat tuntutan terutamanya golongan berusia yang kurang mahir untuk memuat naik tuntutan di portal.

“Skim mySalam adalah unik, yang mana pendaftarannya adalah secara automatik, percuma, dan orang yang dilindungi adalah penerima skim-skim bantuan kerajaan yang sedia ada,” jelasnya.

Beliau berkata, daripada hanya 4.4 juta peserta pada 2019, mySalam yang dibiayai oleh kerajaan kini telah berkembang dan melindungi seramai 11.2 juta peserta.

SIRI jelajah mySalam diadakan di pelbagai lokasi demi meningkatkan kesedaran komuniti mengenai skim itu.

“Ini menunjukkan kesedaran masyarakat akan kepentingan perlindungan takaful dan keberkesanan modul pelaksanaan skim mySalam itu sendiri.

“Sejak skim ini diperkenalkan, kami giat menjalankan kegiatan promosi dan publisiti, demi meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang manfaat skim yang amat baik ini.

“mySalam amat membantu golongan B40 mengharungi situasi kewangan mencabar dalam keadaan mereka berdepan dengan penyakit kritikal,” jelas beliau.

Tambahnya, akses kepada perlindungan secara dalam talian yang mudah dan ringkas juga merupakan ciri menarik skim tersebut.

“Ini sejajar dengan kemajuan teknologi yang menitikberatkan pengurusan kesihatan dan kewangan diri hanya di hujung jari,” katanya.

Selain itu, untuk mendapatkan keterangan lanjut, orang ramai boleh berkunjung ke kios atau menghubungi di talian 1-300-888-938, melayari www.mysalam.com.my atau emel [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.