Minta izin berpoligami di mahkamah, bukan isteri

Minta izin berpoligami di mahkamah, bukan isteri

NAJMI Ahmad (tengah) melawat gerai pada Program Jualan Buku di sebuah pasar raya di Alor Setar. -UTUSAN/JAMLIAH ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kebenaran berpoligami di negeri ini akan ditentukan di Mahkamah Syariah dan bukannya pihak isteri termasuk berhubung kelayakan lelaki berkenaan demi kepentingan semua pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, mereka yang berhasrat untuk berpoligami perlu bersikap bertanggungjawab dan berani termasuk tampil ke pejabat agama membuat permohonan mengikut saluran ditetapkan.

“Anggapan (lelaki) perlu dapat kebenaran isteri pertama tidak betul. Kebenaran akan diberikan mahkamah. Mahkamah nak bagi kebenaran tetapi mesti dapat maklumat daripada isteri pertama dahulu.

“Saya nak nasihat supaya ikut peraturan, ukur baju ikut badan. Kenapa ada orang kaya nak kahwin senyap-senyap sedangkan mereka mampu. Kalau pergi mahkamah, mahkamah benarkan tak ada masalah. Mahkamah akan benarkan asas pertimbangan utama iaitu kemampuan lelaki itu seperti nafkah,” katanya.

Beliau mengulas tentang isu poligami yang hangat diperkatakan ketika ini termasuk trend bernikah di Siam yang semakin meningkat ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jualan Buku di sini.

Mengulas lanjut kata beliau, kelayakan berpoligami tersebut akan ditentukan oleh Mahkamah Syariah yang akan memastikan kepentingan semua pihak terjaga dan tidak berlaku sebarang penganiayaan termasuk kepada wanita yang dimadukan.

“Mahkamah akan buat timbang tara, kamu ini layak ke tak layak. Nak pastikan segalanya kenalah tanya isteri pertama. Tetapi itu bukan maknanya minta kebenarannya (isteri pertama). Mahkamah yang bagi. Ada yang minta tetapi mahkamah tak bagi sebab tak layak,” jelasnya. 

Beliau pada masa yang sama menggesa agar mereka yang ingin berpoligami mengelak daripada mengambil jalan mudah dengan menikah di Thailand yang dikhuatiri mencetus kemudaratan pada masa depan.

Katanya, walaupun pernikahan tersebut sah jika menepati syaratnya namun mengundang masalah terutama jika tidak didaftarkan semula di negeri ini.

“Dari segi hukum jika ada surat pengesahan dari konsulat kita di sana ataupun pihak yang berwajib memang diakui sah. Cuma diwajibkan untuk daftar di sini bagi membolehkan urusan seterusnya dalam pengurusan keluarga.

“Cuma apabila tidak didaftarkan anak-anak yang susah nak daftar untuk dapatkan surat beranak dan nak masuk sekolah. Ada yang nikah di Siam tetapi balik sini buat diam kerana kahwin luar negara satu kesalahan dan kena denda, jadi banyak masalah selepas itu,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya