fbpx

Michelle Yeoh cipta sejarah, rakyat Malaysia pertama tercalon di Oscar

NEW YORK: Michelle Yeoh mencipta sejarah selepas menjadi rakyat Malaysia pertama yang tercalon dalam anugerah Oscar.

Yeoh, 60, yang cemerlang melakonkan watak Evelyn Wang menerusi filem Everything Everywhere All at Once tersenarai bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik disamping nama-nama besar seperti Cate Blanchett, Ana de Armas, Andrea Riseborough dan Michelle Williams.

Bercakap kepada portal Deadline, Yeoh memaklumkan pencalonan tersebut sebagai bayaran hasil kerja keras selepas lebih lima dekad menghambakan diri dalam dunia perfileman.

“Kepada semua orang Asia, anda melihat ia berlaku, jadi ia tidak mustahil. Saya boleh melakukannya, begitu juga anda.

“Saya seorang yang sederhana, hanya bekerja dengan sekuat yang mungkin.

“Ramai pelakon wanita dan lelaki yang tahu mereka layak berada di atas, apa yang perlu mereka lakukam hanyalah rebut peluang,” katanya.
Yeoh turut mencipta sejarah apabila menjadi wanita Asia pertama berjaya membarisi pencalonan kategori sama.

Ramai meramalkan anak kelahiran Pulau Pinang ini bakal membawa pulang Oscar selepas mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Filem (Muzikal/Komedi), Anugerah Golden Globe ke-80.

Yeoh mencipta nama di persada perfileman antarabangsa menerusi filem Ceouching Tiger, Hidden Dragon, Tomorrow Never Dies dan Crazy Rich Asians.

Filem Everything Everywhere All at Once mendahului dalam anugerah Oscar tahun ini dengan pencalonan dalam 11 kategori termasuk Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Filem Terbaik.

Anugerah Oscar ke-95 bakal berlangsung berlangsung pada 13 Mac 2023 di Los Angeles.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN