SERDANG: Sanggup menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan bagi mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit dengan memeras ugut beberapa premis kesihatan dan kecantikan tidak berlesen sekitar kawasan Lembah Kelang di sini.
Kegiatan yang dijalankan sejak September 2022 oleh tiga lelaki tempatan itu bagaimanapun terbongkar selepas kesemua mereka ditahan Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, kegiatan itu dipercayai didalangi seorang individu tempatan yang mempunyai asas berkaitan perundangan melibatkan kesihatan.
Kata beliau, ketiga-tiga suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 38 hingga 48 tahun dipercayai melakukan pemerasan selepas mempunyai masalah kewangan dan berhutang dengan ah long.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang peniaga berkelulusan dalam jurusan perakaunan, pekerja di sebuah syarikat teknologi maklumat dan penganggur.
“Turut dirampas iaitu baju korporat berwarna biru, topi tertera Kementerian Kesihatan, kad tertera pengenalan Kementerian Kesihatan dan pelbagai peralatan lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini hari ini.
Katanya, modus operandi dikesan adalah ketiga suspek menyasarkan premis kecantikan yang tidak mempunyai lesen Kementerian Kesihatan.
Jelas beliau, suspek dipercayai menjalankan siasatan berkaitan perundangan terlebih dahulu melibatkan perkhidmatan menggunakan peralatan perubatan dan penjualan ubat-ubatan berjadual yang mana bagi kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM200,000.
“Suspek dipercayai menggertak akan mengambil tindakan terhadap pemilik premis sehingga mengakibatkan pemilik premis takut dan kesempatan ini digunakan suspek dengan mengugut meminta bayaran kononnya bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil.
“Siasatan dijalankan mendapati suspek bertindak secara terancang dengan menjalankan kajian terlebih dahulu berkaitan perundangan melibatkan perubatan sekali gus menyebabkan pemilik premis yang menjadi sasaran akan terperdaya,” jelasnya.
Katanya, mereka telah menyasarkan 20 premis di kawasan Serdang, Selayang, Shah Alam, Bukit Jalil, Sentul dan sekitar Kuala Lumpur selain mengaut keuntungan lebih RM42,000.
Jelas Anbalagan, semakan mendapati dua suspek memiliki rekod kesalahan lampau.
“Suspek pertama dan kedua mempunyai rekod antaranya melibatkan kes curi dan kes pecah rumah manakala suspek ketiga tidak memiliki sebarang rekod kesalahan lampau.
“Kesemua suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut bagi siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN