Mangsa banjir bersederhana sambut Tahun Baharu Cina

Mangsa banjir bersederhana sambut Tahun Baharu Cina

PENDUDUK berketurunan Cina memasang tanglung sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Kampung Batu Balai, Jabi, Besut, Terengganu. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Penduduk berketurunan Cina di Kampung Batu Balai, Jabi dekat sini menyambut ketibaan Tahun Baharu Cina secara sederhana kerana masih keletihan mengemas rumah yang banyak terjejas akibat banjir buruk, bulan lalu.

Seorang penduduk, Tian Chau Bulat, 71, berkata, mereka sekeluarga membuat persiapan ala kadar untuk perayaan kali ini memandangkan banyak perabot dan barangan elektrik yang rosak akibat banjir terburuk dalam tempoh 40 tahun itu.

Katanya, perayaan tahun ini kali pertama disambut selepas dilanda banjir dengan kerugian besar berbanding berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Biasanya, air naik setakat buku lali sahaja namun kali ini hampir satu meter menyebabkan semua barangan yang kami simpan di tempat biasa rosak.

“Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini tidak begitu meriah seperti sebelumnya namun yang penting adalah kami sekeluarga kira-kira 25 orang termasuk enam anak, menantu dan cucu dapat berkumpul bersama-sama,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Lebih 80 penduduk Cina daripada 22 keluarga kini berada di kampung itu hasil asimilasi nenek moyang mereka dari Thailand sejak beratus tahun lalu.

Selain fasih bertutur bahasa ibunda, komuniti itu juga lebih selesa menggunakan bahasa Melayu dialek Kelantan apabila berkomunikasi bersama masyarakat setempat dan bahasa Mandarin bersama masyarakat Cina yang lain.

Sementara itu, Boo Duaa Jeoten, 64, berkata, mereka sekeluarga belum mengalihkan barangan ke tempat asal kerana bimbang risiko banjir berulang susulan amaran hujan berterusan antara 20 hingga 22 Januari ini yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, baru-baru ini.

“Peti ais dan mesin basuh pun rosak belum dibaiki. Kalau nak beli bahan mentah seperti ayam dan ikan, kami perlu beli untuk kegunaan harian sahaja kerana tiada tempat nak simpan.

“Juadah untuk tetamu pun kami beli beberapa jenis biskut, kerepek dan kuih sahaja untuk mereka menjamu selera.

“Cuma adalah hias sedikit rumah ini dengan tanglung dan bunga supaya anak cucu dan saudara-mara yang datang bertandang nanti tetap merasai kemeriahan Tahun Baharu Cina. Raya tetap raya walaupun masih bersedih akibat banjir yang berlaku baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN