Maiwp belanja lebih RM100 juta bantu pendidikan asnaf

Maiwp belanja lebih RM100 juta bantu pendidikan asnaf

AL-SULTAN Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan anugerah Ikon Pendidikan MAIWP 2023 kepada Dr Muhammad Ameerullah Sahudin (depan) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (belakang, dua dari kiri); Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd. Na'im Mokhtar (kanan) dan Mohd. Daud Bakar (kiri) ketika Majlis Perasmian Karnival MAIWP di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur . - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membelanjakan lebih RM100 juta daripada keseluruhan kutipan zakat tahun lepas bagi memberi manfaat kepada hampir 40,000 anak-anak asnaf.

Pengerusi Maiwp, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, ia bagi membangunkan institusi pendidikan dan kebajikan dari peringkat usia muda sehingga pengajian tinggi. 

Selain itu, katanya, perbelanjaan itu juga mengambil kira seruan kerajaan bagi memastikan tiada anak-anak asnaf yang tercicir daripada digitalisasi pendidikan dengan menyediakan kemudahan tablet dan wifi percuma kepada anak-anak asnaf.

“Jumlah ini adalah  sebahagian daripada RM855,519,208.03 dana zakat yang diagihkan menerusi skim Bantuan MAIWP dengan jumlah penerima sebanyak 220,769 orang.

“Kesemua ini adalah berpunca daripada kekuatan dan keutuhan dana zakat yang dimiliki. 

“Dengan adanya kekuatan ini, MAIWP sentiasa berusaha mengadakan aktiviti dan program untuk memenuhi keperluan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Karnival MAIWP 2023 di Dataran Merdeka di sini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan  mencemar duli menyempurnakan Karnival MAIWP 2023.

Dalam majlis itu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan sijil penghargaan, plak serta cek berjumlah RM3,000 kepada Ikon Usahawan MAIWP, Robiatul Adawiah Ibrahim dan Ikon Pendidikan MAIWP, Dr. Muhammad Ameerullah Sahudin.

Karnival MAIWP berlangsung  dua hari bermula hari ini dengan membawa tema Kecemerlangan MAIWP ke Arah 50 Tahun – Memperkasa dan Bedaya Usaha. 

Sebanyak 100 reruai disediakan yang menggabungkan pameran jualan usahawan asnaf,  perkhidmatan dan institusi pendidikan serta kesihatan, selain daripada rakan strategik MAIWP.

Mohd. Daud berkata, Karnival MAIWP itu juga akan menjadi aktiviti tahunan dan merupakan  permulaan kepada perancangan pihaknya bagi aktiviti yang berimpak besar yang akan dilaksanakan pada tahun ini. 

“Antaranya adalah penubuhan dapur berpusat, pembinaan masjid Cina di Jalan Davis, pembelian perumahan mampu milik di Labuan bagi golongan asnaf, penubuhan pusat dialisis dengan kerjasama strategik dan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak kelainan upaya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya