Mahkamah benarkan injunksi terhadap Lokman Adam

Mahkamah benarkan injunksi terhadap Lokman Adam

LOKMAN NOOR ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini merekodkan perintah persetujuan berhubung injunksi inter parte (kedua-dua belah pihak) dalam kes saman membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Perintah persetujuan yang direkodkan oleh Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh berkuat kuasa sehingga kes saman fitnah tersebut dilupuskan.

“Perintah persetujuan direkodkan seperti (dalam) terma-terma dan draf. Mahkamah turut menetapkan 6 Mac ini untuk pengurusan kes. Sebarang permohonan interlokutori perlu difailkan sebelum tarikh berkenaan,” kata hakim itu.

Pada prosiding terdahulu, mahkamah hanya mengeluarkan perintah injunksi sementara sebelah pihak (ex-parte) terhadap Lokman Noor sementara pelupusan kes.

Pada prosiding hari ini, Ismail Sabri diwakili peguam, Joshua Tan Jo-ven manakala Lokman Noor diwakili peguam, Mohd. Faiz Abd. Rahim.

Ketika ditemui selepas tamat prosiding, kedua-dua peguam tersebut enggan mendedahkan terma-terma yang dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat.

Pada 9 September 2022, Ismail Sabri, 62, selaku plaintif memfailkan saman itu atas kapasiti peribadinya dengan menamakan Lokman, 49, sebagai defendan tunggal.

Dalam pernyataan tuntutan, Ismail Sabri mendakwa Lokman pada 22 Ogos lalu telah membuat kenyataan-kenyataan fitnah terhadapnya dalam satu video bertajuk ‘Bila Presiden UMNO Panggil Tak Datang! Tapi PM Ada Masa Jumpa Mahathir – Lokman Adam’.

Naib Presiden UMNO itu berkata, kenyataan-kenyataan berniat jahat, fitnah dan tidak benar berkenaan dirinya dimuat naik menerusi empat akaun media sosial milik defendan.

Keempat-empat akaun itu ialah YouTube ‘Lokman Adam’, Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’, Instagram ‘lokmannooradam’ dan TikTok ‘datoklokmanadam’.

Menurutnya, kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud plaintif telah berjumpa dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan merancang atau berniat untuk merancang dengan bekas Perdana Menteri serta parti-parti politik lain yang bertentangan dengan UMNO untuk kekal sebagai Perdana Menteri dengan membelakangkan dan mengkhianati parti itu.

Ismail Sabri berkata, beliau tidak pernah berjumpa Dr. Mahathir dan parti-parti lain dengan membelakangkan atau mengkhianati UMNO untuk terus kekal dalam jawatan itu.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Ismail Sabri untuk mendapatkan perintah injunksi ad-interim (sementara) terhadap Lokman yang didakwa memfitnahnya menerusi dua hantaran jelik, Ogos lalu.

Ismail Sabri memfailkan saman terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tersebut kerana memuat naik dua video pada tarikh 20 dan 22 Ogos lalu menerusi platform Facebook.

Satu surat tuntutan bertarikh 25 Ogos lalu, juga dikeluarkan supaya defendan memadam video daripada media sosialnya dan mengeluarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun, hingga kini Lokman gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya