PASIR PUTEH: Longkang tersumbat menjadi punca berlakunya masalah banjir kilat sekitar bandar lama terutama melibatkan jalan utama Pasir Puteh-Kuala Terengganu, pagi semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, masalah itu melibatkan laluan sejauh 100 meter bermula di hadapan bangunan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) yang ditenggelami air sedalam 0.3 meter.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Mahzan, 30, mendakwa, kegagalan sistem perparitan menyebabkan banjir kilat berlaku setiap kali hujan lebat.
Menurutnya, situasi itu mengakibatkan beberapa urus niaga di kawasan premis berkenaan terganggu selain menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
“Terus-terang saya katakan, masalah ini sudah berlaku sekian lama, malangnya tiada sebarang tindakan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi berkaitan.
“Rata-rata pengguna dan peniaga di sini sudah tidak tahan dengan apa yang berlaku. Boleh saya katakan, kawasan ini seolah-olah kawasan ‘takungan’ setiap kali hujan lebat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh Perempuan, Jaafar Mahmood menggesa masalah banjir kilat yang dialami sejak lebih lima tahun itu perlu diberi perhatian oleh pihak berkenaan.
Katanya, walaupun sekolah itu tidak terpalit dengan banjir kilat namun ia memberikan kesan kepada golongan ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah.
Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh, Sany Satar ketika dihubungi tidak menafikan keadaan itu yang sering berlaku apabila hujan lebat namun ianya kembali kering dalam tempoh beberapa jam selepas hujan berhenti.
Katanya, kes berkenaan sudah dalam pengetahuan pihak MDPP untuk tindakan lanjut, selain turut merujuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). – UTUSAN










