Lawatan Perdana Menteri tidak dimaklumkan secara khusus - Samsuri - Utusan Malaysia

Lawatan Perdana Menteri tidak dimaklumkan secara khusus – Samsuri

AHMAD Samsuri Mokhtar (barisan ketiga, dua dari kanan) bersama sebahagian penerima kunci rumah pada Majlis Penyerahan Kunci RMM Tajin Sejahtera, Kuala Berang, Hulu Terengganu, hari ini. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan ketiadaan beliau dan pimpinan negeri ketika lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu, Khamis lalu cuma masalah komunikasi.

Menurut beliau, ketiadaan pemimpin negeri tersebut dalam lawatan Perdana Menteri bukan bermaksud wujud masalah hubungan dengan kerajaan Pusat.

Malah menurutnya, kerajaan Negeri telah menyediakan pengangkutan serta logistik sempena kehadiran Anwar pada hari berkenaan.

“Kerajaan negeri pimpinannya sejak tahun 2018 sudah ada pengalaman uruskan kehadiran Perdana Menteri sebelum ini.

“Semasa Perdana Menteri terdahulu, kita dimaklumkan dengan jelas apa tujuan kedatangan serta siapa atau pihak-pihak yang dilibatkan.

“Pada kunjungan Anwar baru-baru ini, kerajaan negeri tidak dimaklumkan secara khusus. Kita bantu dari segi logistik serta pengangkutan seperti diminta dan tidak dibuat permintaan lain daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera di Kampung Tajin, Kuala Berang di sini hari ini.

Projek RMM Tajin Sejahtera itu yang bernilai kira-kira RM30 juta di kawasan seluas 10 hektar itu melibatkan sebanyak 250 unit rumah untuk golongan B40.

Ahmad Samsuri memberitahu, pihaknya tidak mahu memanjangkan isu berkenaan kerana kerajaan Negeri tiada sebarang masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan Pusat.

Sebelum ini, Pakatan Harapan Terengganu kecewa terhadap pemimpin Pas negeri ini tidak kelihatan ketika Perdana Menteri mengadakan lawatan ke Terengganu, Khamis lalu.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pihaknya mendapati tiada seorang pun dalam kalangan pemimpin Pas negeri hadir semasa ketibaan dan kepulangan Perdana Menteri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya