Laluan pagar automatik dilaksana segera di KLIA

Laluan pagar automatik dilaksana segera di KLIA

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika mesyuarat antara pengurusan tertinggi KDN dan JIM di Putrajaya. - GAMBAR IHSAN KDN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan segera penggunaan laluan pagar automatik kepada pelawat dari 10 buah negara yang berisiko rendah bagi mengatasi kesesakan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menggerakkan dua kumpulan Quick Response Team (QRT) bermula 1 Februari ini bagi membantu pegawai-pegawai di kaunter ketika waktu puncak.

Beliau berkata, dua langkah itu bertujuan mengatasi isu pelawat asing beratur panjang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak beberapa minggu lalu.

“Siasatan mendapati isu berkenaan berpunca daripada ketibaan pesawat secara serentak sekitar 20 hingga 26 buah dalam jarak masa antara 5 hingga 10 minit ketika waktu puncak.

“Selain itu, pemeriksaan mengikut prosedur bagi memastikan pelancong asing tulen yang memenuhi syarat Pas Lawatan Sosial sahaja dibenarkan masuk turut dikaitkan sebagai faktor kesesakan ini berlaku,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Katanya, langkah segera itu diputuskan hasil mesyuarat antara pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM semalam.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mendakwa pelancong asing yang masuk melalui KLIA terpaksa beratur selama dua jam bagi melepasi prosedur pemeriksaan imigresen.

Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata, isu berkenaan perlu diselesaikan dengan kadar segera bagi mengelak imej Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tercalar.

Sementara itu, bagi mengatasi isu kesesakan di pejabat pengeluar pasport di seluruh negara, Saifuddin berkata, pihaknya akan menambah baik sistem janji temu secara dalam talian, menambah mesin pencetak passport dan melanjutkan pejabat pengeluar pasport.

Menurutnya, bermula esok, 20 Pejabat Pengeluar Passport di seluruh negara selain Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan beroperasi tujuh hari seminggu.

“Selain itu, Pejabat Passport KLIA turut beroperasi sebagai Pejabat Pengeluar Passport bagi kes segera dan kecemasan selain daripada permohonan biasa,” katanya.

Katanya, beliau menghargai peranan pegawai-pegawai JIM yang memberikan komitmen dalam tugasan ini dan mengalu-alukan cadangan serta pandangan masyarakat bagi mencari jalan keluar agar isu ini tidak dibiarkan berterusan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya