Kutipan zakat Wilayah Persekutuan 2022 hampir RM1 bilion

Kutipan zakat Wilayah Persekutuan 2022 hampir RM1 bilion

MOHD. Na'im Mokhtar (tengah) memegang replika cek kutipan dan zakat 2022 Wilayah Persekutuan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah keseluruhan kutipan zakat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan sepanjang tahun lalu berjaya mencecah hampir RM1 bilion berbanding 2021 lalu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, kutipan keseluruhan pada 2022 lalu merekodkan sebanyak RM937,036,444.09 iaitu naik 13 peratus daripada RM828,670,791.16 pada tahun sebelum itu.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, kutipan zakat harta ialah sebanyak RM923,284,151.65, manakala zakat fitrah pula ialah RM13,752,292.44 dengan pertambahan jumlah pembayar zakat meningkat 17 peratus tahun lalu iaitu 1,832,764 orang.

Daripada jumlah tersebut kata beliau, pembayar zakat harta ialah seramai 240,630 orang, manakala zakat fitrah ketika bulan Ramadan ialah 1,592,134 orang.

“Peningkatan kutipan dan pembayar zakat ini atas beberapa faktor seperti kepelbagaian saluran bayaran, aktiviti promosi berterusan dan luas melalui banyak platform,” jelasnya dalam sidang akhbar mengenai Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2022, di sini hari ini.

Mohd. Na’im berkata, peningkatan pembayar zakat turut disumbangkan hasil pelaksanaan Skim Wakalah atau Dasar Pengembalian Semula Wang Zakat oleh MAIWP serta Skim Kafalah Muzakki atau khairat kematian.

Kedua-dua skim berkenaan ujar beliau, yang ditawarkan berjaya menarik minat ramai pembayar baharu dan mengekalkan pembayar sedia ada serta menambah kutipan zakat.

Selain itu, tahap kepercayaan masyarakat Islam terhadap agihan zakat yang dilaksanakan MAIWP juga antara faktor yang menyumbang kepada pertambahan kutipan selepas agensi berkenaan berjaya mengagihkan RM855,519,208.03 dana zakat menerusi pelbagai inisiatif terus kepada semua asnaf.

Pada tahun lalu jelas Mohd. Na’im, MAIWP memperkasakan usaha membantu asnaf keluar daripada kemiskinan dan menjadi pembayar zakat pula dengan melaksanakan banyak aktiviti seperti Program Agropreneur, Gerobok Rezeki Komuniti U dan Insani Misi Banjir selain menjalinkan kerjasama dengan pelbagai institusi untuk membantu tabungan asnaf pada masa depan.

Untuk tahun ini pula ujarnya, PPZ-MAIWP menyasarkan keseluruhan kutipan zakat dan wakaf sebanyak RM1.024 bilion dengan jumlah pembayar dijangka ialah 1,907,100 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya