Kiblat 28 masjid warisan Melaka tidak tepat - Mufti

Kiblat 28 masjid warisan Melaka tidak tepat – Mufti

Masjid Al Abrar di Semabok, Melaka merupakan antara masjid dikesan mengguna pakai arah kiblat yang didapati tidak tepat. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 28 masjid berusia lebih 100 tahun di Melaka dikesan mengguna pakai arah kiblat yang didapati tidak tepat.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil mendedahkan, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengesahkan perkara itu melalui pemeriksaan dilakukan secara berperingkat melibatkan kerjasama Jabatan Mufti Melaka dan Jabatan Ukur dan Pemetaan, sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, kesalahan didapati berpunca akibat penggunaan kaedah pengiraan tradisional berdasarkan cerapan matahari dan bayang-bayang semasa masjid terlibat dibina.

“Bukan bererti orang dahulu salah, tapi Pada ketika itu mungkin tiada badan yang mengawal, tiada teknologi canggih seperti kompas dan sebagainya.

“Kita telah berkolaborasi dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan untuk melakukan semakan arah kiblat melibatkan masjid warisan berusia lebih 100 tahun dan mendapati 28 daripada 55 buah masjid mengguna pakai arah yang tidak tepat.

“Ada arah kiblat yang tersasar melebihi tiga hingga 18 darjah daripada arah kiblat sebenar dan kita percaya hal ini berlaku disebabkan kaedah penentuan yang digunakan pada zaman itu iaitu berdasarkan cerapan matahari atau penentuan bayang-bayang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sijil Arah Kiblat dan Penarafan Bintang di Semabok di sini hari ini.

Tambah Abdul Halim, masyarakat Islam di negeri ini tidak perlu berasa risau dengan isu berkenaan kerana arah kiblat kesemua masjid terlibat telah selesai dibetulkan.

Ujarnya, pihaknya turut menerima permohonan lebih 150 premis dan 80 buah rumah untuk pemeriksaan semula arah kiblat.

“Antara 28 masjid warisan terbabit yang sudah dibetulkan arah kiblatnya adalah Masjid Al Abrar, Masjid Kampung Hulu, Masjid Kampung Keling, Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah dan Masjid Serkam,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.