Kes ASF; Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal adakan mesyuarat esok - Utusan Malaysia

Kes ASF; Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal adakan mesyuarat esok

FADHLINA Sidek (dua dari kiri) pada Program Pelancaran Kiosk Buku Nibong Tebal dan sumbangan 100 buah kerusi roda di Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal akan mengadakan mesyuarat bersama Pejabat Daerah dan Tanah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi membincangkan tindakan selanjutnya berhubung penyakit demam babi Afrika atau ‘African Swine Fever’ (ASF) yang dikesan menjangkiti babi di sebuah ladang babi di sini, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek berkata, mesyuarat tersebut bagi membincangkan langkah dan pengurusan secara terperinci bersama agensi kerajaan dalam memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk setempat terjamin.

“Perkara ini telah diambil secara serius selaras dengan pengumuman Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) sebelum ini yang mana beliau sendiri melihat isu ini bukan lagi sebagai isu daerah atau isu kawasan, tetapi sebagai isu keutamaan negeri.

“Saya difahamkan jawatankuasa yang akan melihat isu ini akan diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Di pihak pejabat (Parlimen Nibong Tebal) pula kami akan adakan mesyuarat bersama Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Bencana Negeri Pulau Pinang untuk meneliti tindakan selanjutnya yang akan diambil bagi menangani isu ini dengan memberi nasihat mengenai kawalan, keadaan serta keselamatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Program Pelancaran Kiosk Buku Nibong Tebal dan sumbangan 100 buah kerusi roda di Pusat Khidmat Rakyat Nibong Tebal, di sini hari ini.

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menambah, orang ramai diminta memberi kepercayaan kepada agensi kerajaan untuk menguruskan isu tersebut selain tidak membuat andaian atau provokasi bagi mengelakkan situasi tidak diingini berlaku.

“Situasi terkawal dan saya mohon semua pihak tidak bimbang kerana kerajaan negeri dan agensi kerajaan terlibat sedang melakukan yang terbaik demi masyarakat di sini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan penyakit ASF dikesan menjangkiti babi di sebuah ladang babi di Sungai Bakap daerah Seberang Perai Selatan di sini dan ladang tersebut telah ditutup bagi menghapuskan ternakan di situ.

Kon Yeow berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang juga sedang melaksanakan langkah-langkah pencegahan di ladang itu termasuk menghentikan operasi kenderaan pengangkutan babi rentas negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.