Keputusan bantahan awal petisyen PRU15 Parlimen Marang pada 12 Februari - Utusan Malaysia

Keputusan bantahan awal petisyen PRU15 Parlimen Marang pada 12 Februari

AHMAD Said (kanan) memperkata sesuatu kepada Takiyuddin Hassan (kiri) selepas sesi pendengaran bantahan awal petisyen PRU15 bagi Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh keputusan bantahan awal petisyen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Marang.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas mendengar hujahan peguam responden, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan peguam pempetisyen, Datuk Mohd. Hafarizam Harun, hari ini.

Menurut Takiyuddin, prosiding itu dibuat untuk mendengar bantahan pihaknya yang mewakili Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadap petisyen yang difailkan UMNO Terengganu.

“Setelah mendengar hujahan responden dan pempetisyen, mahkamah juga mengarahkan kedua-dua pihak memasukkan hujahan tambahan sebelum 6 Februari.

“Hakim kemudian akan membuat keputusan sama ada bantahan awal responden terhadap petisyen PRU15 itu diterima atau sebaliknya pada 12 Februari.

“Jika bantahan awal kami ini diterima, tiada (perbicaraan) petisyen Parlimen Marang namun jika ditolak, mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan,” jelasnya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan pihak pempetisyen yang mewakili calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman untuk menukar hakim mengendalikan kes berkenaan.

Hassan dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpendapat pempetisyen gagal menunjukkan unsur berat sebelah selain berpendapat hujahan pempetisyen hanya berpandu kepada persepsi.

Pada 3 Januari lalu, Badan Perhubungan UMNO Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman.

Petisyen melibatkan tiga Parlimen itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa Pas membuat sogokan wang kepada pengundi berdaftar antara 14 sehingga 19 November 2022.

Pada PRU15, Parlimen Marang dimenangi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 41,729 undi dalam pertandingan empat penjuru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya