Kenyataan 'sedekah' Abdul Hadi bukti pemberian wang berlaku

Kenyataan ‘sedekah’ Abdul Hadi bukti pemberian wang berlaku pada PRU15

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan pengagihan wang oleh segelintir individu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)  sebagai sedekah membuktikan bahawa memang berlaku pemberian wang semasa pilihan raya lepas.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan Ahli Parlimen Marang itu juga seperti cuba ‘menghalalkan’ apa sahaja perbuatan mereka yang ternyata salah dari segi peraturan .

Lebih membahayakan, katanya, mereka mengaitkannya dengan agama supaya dilihat suci bersih.

“Inilah budaya dan sikap Pas sejak dulu. Pihak lain semuanya salah dan sebaliknya tidak salah kalau mereka yang lakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan, Abdul Hadi mempertahan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon Pas.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata, realitinya Pas kini sudah banyak berubah berbanding sebelum ini.

“Kuasa dan kedudukan sudah menjadi sangat penting bagi Pas dan kerana itu prinsip, pendirian serta peganggan Pas akan berubah kerana itu. Pas sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa dan kedudukan. Ini hakikatnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya