Keadaan kapal, kecekapan kru MV Dai Cat 06 diteliti

Keadaan kapal, kecekapan kru MV Dai Cat 06 diteliti

Kapal MV Dai Cat 06 yang dilaporkan hilang sejak 9 Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tumpuan siasatan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berhubung kehilangan kapal MV Dai Cat 06 menjurus kepada beberapa faktor terma­suk sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, siasatan itu dimulakan sejak hari pertama kejadian berkenaan dilaporkan dengan melihat pelbagai sudut.

Kata beliau, antara penelitian yang dilakukan termasuk mengenal pasti keadaan kapal itu ketika kali pertama berlepas dari Pelabuhan Lumut, Perak pada 24 Disember.

“Keterangan beberapa pihak diperlukan bagi memastikan apakah kapal itu berada dalam keadaan baik ketika berlepas, adakah ia sudah tua atau ‘sihat’ untuk belayar.

“Selain itu, sistem perhubungan yang digunakan kapal ber­kenaan ketika berlayar juga akan diteliti adakah menepati spesifikasi yang betul sekiranya berlaku kecemasan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata sumber itu, kecekapan anak kapal atau kru yang mengemudi kapal kargo itu juga akan diteliti.

“Dalam kes-kes seumpama ini, banyak aspek perlu diteliti. Ma­ritim Malaysia perlu melihat butiran perjalanan kapal berkenaan adakah dimaklumkan dari semasa ke semasa selain pengalaman kru itu dalam mengendali kapal.

“Laut amat luas, jadi perhubungan itu berkemungkinan menjadi sukar ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu. Jadi semua ini perlu dilihat sebelum kita simpulkan apa sebenarnya yang berlaku,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah terdapat unsur-unsur jenayah, sumber itu berkata, siasatan masih dijalankan ke arah itu namun tidak menolak kemungkinan ia boleh berlaku.

“Tidak tolak kemungkinan kerana ada kapal yang dilarikan dengan identiti kapal berkenaan ditukar selain disorok di sesuatu lokasi. Bagaimanapun ia masih dalam peringkat siasatan,” katanya.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Maritim Malaysia kini dalam usaha mengumpul maklumat daripada pekerja kapal, ejen, serta pemilik kapal kargo berkenaan.

Lapor akhbar ini, maklumat daripada keluarga juga diperoleh bagi membantu mengesan kapal berkenaan.

Tindakan itu dibuat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal MV Dai Cat 06 berkenaan ditamatkan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia, Sabtu lalu.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penamatan itu dilakukan selepas pencarian yang dijalankan oleh bot SAR RIB 03 tidak menemukan sebarang petunjuk.

Justeru, BASARNAS telah menamatkan operasi SAR pada pukul 2.18 petang kelmarin.

Namun begitu, sekiranya terdapat petunjuk baharu berkaitan keberadaan kapal tersebut, operasi SAR akan diaktifkan semula.

Akhbar ini turut melaporkan pemantauan yang dilakukan oleh pihak Maritim Malaysia menggunakan KM BIJAK di perairan Tanjung Datu hingga ke perairan Kuching juga tidak me­nemukan sebarang petunjuk.

Bagaimanapun, KM BIJAK yang masih dalam perintah operasi akan meneruskan pemantauan dan pencarian di sekitar perairan Kuching, Sarawak.

Syarikat kapal berkenaan dikatakan milik tempatan dan kapal berdaftar di Kuching, Sarawak manakala nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, berasal dari Indonesia.

Jurutera kanan kapal juga adalah warga Indonesia iaitu Damai Papane Ole, 57, manakala ketua operasi kapal ialah Mohammad Syafarizan.

Dua lagi warga tempatan ialah Mohammad Sudeh Sudin, berusia 20 tahun dan Derrent Littor, 22.

Kapal yang membawa muatan besi paip itu dipercayai tidak berada di perairan negara ini dan pencarian diteruskan di kawasan perairan Indonesia oleh BASARNAS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya