KBS galak kerjasama semua pihak bangunkan bakat sukan negara - Utusan Malaysia

KBS galak kerjasama semua pihak bangunkan bakat sukan negara

ADAM ADLI Abd. Halim ketika hadir pada program pusingan akhir kejohanan bola sepak ' Road to Glory to Real Madrid 2033', di Stadium Mini Permatang Rawa, Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu lebih ramai bakat baharu bola sepak seperti R. Kogileswaran ‘dilahirkan’ pada masa depan.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd. Halim berkata, untuk itu, pembangunan sukan tersebut perlu dilakukan secara berterusan di peringkat akar umbi atau pada usia yang awal.

Sehubungan itu, tambah beliau, kementerian amat menggalakkan mana-mana persatuan atau pihak persendirian turut sama menggembleng usaha membangunkan sukan berkenaan serta sukan-sukan lain yang berpotensi.

“Cungkil bakat ini perlu dibuat pada usia awal dan kalau harapkan satu pihak sahaja (KBS), mungkin takkan sampai ke semua tempat (secara menyeluruh),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis penyampaian hadiah kejohanan bola sepak ‘Road to Glory to Real Madrid 2023’ yang turut dihadiri oleh bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas di Stadium Mini Permatang Rawa, di sini hari ini.

Kogileswaran atau Kogi, 24, yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan kini menyertai kelab Korea Selatan, Chungbuk Cheongju FC selepas dilaporkan mengikat kontrak selama setahun bersama pasukan liga divisyen dua (K2) negara itu.

Mengulas lanjut, Adam Adli berharap bakat-bakat muda dapat mengikut jejak langkah Kogi jika diberi peluang dan tidak hanya memberi tumpuan untuk beraksi di negara sendiri apabila dewasa kelak.

“Apabila mereka balik nanti (pulang ke Malaysia), mungkin mereka boleh menyumbang pula untuk (pembangunan) bola sepak di negeri masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kedah FC muncul juara ‘Road to Glory to Real Madrid 2023′ selepas menamatkan kejohanan liga sepusingan itu di tangga teratas sekali gus melayakkan mereka menyertai program klinik bola sepak Yayasan Real Madrid di Madrid, Sepanyol.

Selain SSN Kedah FC, pasukan lain yang turut serta dalam pusingan akhir kejohanan itu ialah KBB Allstar FC; Real Humble FC; To’ Kandu Kids FC; Kadir FC; Black Tigers FC dan Singa Muda Perlis FC.

‘Road to Glory to Real Madrid’ merupakan kejohanan anjuran TH Global Football Camp (THGFC) dengan kerjasama beberapa penaja utama.

Selain Real Madrid, THGFC sebelum ini pernah bekerjasama dengan kelab Bundesliga di Jerman iaitu Borussia Dortmund untuk membawa bakat muda negara menjalani latihan bola sepak di negara itu pada 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya