Kadar jenayah turun 4.1 peratus bukti tahap keselamatan baik

Kadar jenayah turun 4.1 peratus bukti tahap keselamatan pada tahap baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan penurunan 4.1 peratus membabitkan kadar jenayah apabila 50,819 kes direkodkan tahun lalu berbanding 52,974 pada tahun sebelumnya.

Penurunan ini sekaligus menunjukkan PDRM berjaya mengekalkan keadaan keselamatan negara pada tahap yang baik.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, usaha mencegah dan membanteras kegiatan dadah membabitkan pelbagai kesalahan narkotik juga terus dipergiatkan apabila 141,346 kes serta 163,740 tangkapan direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga Disember tahun lalu berbanding 108,273 kes dan 129,654 tangkapan pada 2021.

“Tangkapan bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) juga merekodkan peningkatan pada 2022 membabitkan 1,261 orang berbanding 1,186 pada 2021. Ini jelas membuktikan PDRM terus komited memerangi musuh nombor satu negara ini.

“Selain itu, statistik kes jenayah komersial menunjukkan penurunan bagi tempoh Januari hingga Disember 2022 dengan 30,536 kes dicatatkan berbanding 31,490 bagi tempoh sama pada 2021,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman, di sini, hari ini.

Seterusnya, Acryl Sani berkata, bilangan kes, tangkapan dan nilai rampasan berkaitan penyeludupan, migran serta khazanah negara pula menunjukkan peningkatan, iaitu 2,866 kes, 5,945 tangkapan dan RM495.6 juta nilai rampasan direkodkan bagi tempoh Januari hingga Disember 2022 berbanding 2,811 kes, 4,840 tangkapan serta RM445.9 juta nilai rampasan bagi tempoh sama pada 2021.

“Tahniah diucapkan kepada seluruh warga pasukan PDRM yang berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan dan kekal komited dengan peranan serta tanggungjawab selari dengan kehendak Akta Polis 1967.

“Saya amat berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan demi meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan PDRM dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN