Kadar jenayah 2022 di Klang Utara turun - Utusan Malaysia

Kadar jenayah 2022 di Klang Utara turun

Klang Utara
S. Vijaya Rao berucap pada perhimpunan bulanan IPK Klang Utara di Balai Polis Kapar, Klang, hari ini - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kadar jenayah bagi tahun 2022 di kawasan seliaan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dilaporkan menurun sebanyak 14 kes berbanding 2021 dengan 54 peratus kes diselesaikan dan 41 peratus pertuduhan dibuat.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, peratusan menurun adalah sebanyak 1.7 peratus dan kes yang berjaya diselesaikan pula melibatkan jenayah indeks dan bukan indeks.

“54 peratus itu adalah keseluruhan. Jenayah indeks bermaksud melibatkan kekerasan dan harta benda. Pertuduhan lain 41 peratus, maknanya siasatan selesai sampai ke peringkat pendakwaan. Itu dari segi jenayah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPD Klang Selatan, hari ini.

Selain itu, beliau turut memperincikan jenayah-jenayah disiasat polis bagi tempoh tahun tersebut yang melibatkan aktiviti perjudian, perlombongan bitcoin, kesalahan trafik serta tindakan pencegahan jenayah.

Menurut Vijaya Rao, IPD Klang Utara berjaya menangkap 644 orang dan merampas 1,167 peralatan dalam siasatan jenayah melibatkan perjudian. Selain itu, empat serbuan dilakukan dengan merampas 565 peralatan bernilai hampir RM 282,500 terhadap perlombongan bitcoin yang dibuat secara haram iaitu mencuri bekalan elektrik.

Bagi kesalahan dadah, peningkatan tangkapan sebanyak 30 peratus berbanding 2021 apabila 1,238 ditahan atas pelbagai kesalahan dan rampasan terbesar adalah 1.5 kilogram ganja dan dua kilogram heroin yang bernilai hampir RM 170,000.00 oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.

Selain itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial berjaya menahan 246 orang yang terlibat dalam pelbagai kes jenayah sedemikian dengan nilai rampasan sebanyak RM12,000 dan menunjukkan peningkatan sebanyak 17 peratus.

Sementara bagi kesalahan trafik 47,813 saman dikeluarkan dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM879,630.

“Disamping itu, di dalam mengekang penularan jenayah melalui inisiatif Program Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan oleh Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti dan operasi oleh balai – balai di bawah IPD Klang Utara.

“Seramai 433 orang ditahan dan sebanyak 10,497 saman dikeluarkan yang terlibat dalam pelbagai kesalahan. Pencapaian ini merupakan pemangkin didalam pencegahan seterusnya menyumbang dalam kadar penurunan kadar indeks jenayah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya