JPJ Pahang kesan kenderaan cukai tamat tempoh lima tahun lalu

JPJ Pahang kesan kenderaan cukai jalan tamat tempoh lima tahun lalu

SEBANYAK 2,692 kenderaan diperiksa dalam Op Ambang Tahun Baharu yang dijalankan JPJ dengan kerjasama beberapa penguat kuasa agensi kerajaan yang lain di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kereta Proton Saga dengan cukai jalan tamat tempoh sejak 2017 antara 2,692 kenderaan diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dalam Op Ambang Tahun Baharu malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 40-an yang memandu kereta berkenaan memberi alasan tidak perasan cukai kenderaan tamat tempoh lima tahun lalu.

Daripada jumlah kenderaan termasuk kereta dan motosikal yang diperiksa itu, 285 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dalam operasi berkenaan di Jalan Tanjung Lumpur di sini. 

Op Ambang Tahun Baharu bermula pukul 9 malam dan berakhir kira-kira pukul 2 pagi itu membabitkan 77 pegawai dan anggota termasuk 45 penguat kuasa JPJ Pahang.

Turut terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan termasuk agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). 

Dalam operasi itu, JPJ menyita empat kenderaan iaitu masing-masing dua kereta dan motosikal selain JPN juga menyita kad pengenalan seorang individu kerana memiliki dua kad pengenalan. 

Pengarah JPJ Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, sebanyak 402 saman dan 78 notis dikeluarkan dengan kesalahan cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh paling banyak dikesan sepanjang operasi terbabit dijalankan. 

“Kebanyakan mereka memberi alasan tidak perasan, tidak tahu atau tidak sedar yang cukai jalan kenderaan atau lesen memandu sudah tamat tempoh walaupun alasan itu sebenarnya tidak logik. 

“Kita mengambil tindakan tegas untuk kesalahan yang dilakukan kerana apa yang penting bagi kami adalah keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya di sini semalam. 

Menurut Kamarul Iskandar, Op Ambang Tahun Baharu diadakan serentak di empat lokasi tumpuan di seluruh Pahang iaitu di Tanjung Lumpur bagi Zon Timur, Kilometer (KM) 6 Jalan Raub-Bentong (Zon Barat), KM18 Jalan Bukit Ibam-Lebai Chondong (Zon Tenggara) dan Tanjung Lalang, Temerloh (Zon Tengah) serta membabitkan 141 pegawai dan anggota penguat kuasa keseluruhannya. 

“Sepanjang tahun lalu, pihak JPJ merekodkan kesalahan membabitkan cukai jalan dan lesen memandu antara yang paling tinggi dilakukan pengguna jalan raya di negeri ini.

“Manakala kesalahan teknikal pula membabitkan nombor pendaftaran kenderaan dan penggunaan lampu High Intensity Discharge (HID),” katanya. 

Katanya, kesalahan itu adalah serius kerana sekiranya berlaku kemalangan ia akan membabitkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. 

“Oleh itu kita menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa memastikan lesen memandu serta cukai jalan sentiasa dalam keadaan lengkap selain mematuhi segala peraturan jalan raya yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.