Jiran sangka tiada penghuni di rumah

Jiran sangka tiada penghuni di rumah

KEADAAN rumah yang rosak dalam kebakaran yang mengorbankan dua beradik di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanggut, Gombak, Kuala Lumpur, semalam. – FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jiran kepada dua beradik terkilan kerana menyangka tiada penghuni di kediaman terbabit selepas ketukan dan cubaan membuka pintu jeriji tidak me­nunjukkan rumah tersebut ada penghuni.

Seorang jiran, Rahmat Razali, 33, yang tinggal berhadapan kediaman mangsa berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi bising dan terlihat api marak di tiga buah rumah tersebut.

“Saya terus pergi ke rumah jiran di hadapan sebelum me­ngetuk rumah dan cuba membuka pintu jeriji dikunci dengan mangga.

“Bagaimanapun, tiada sahutan jadi saya ingatkan mereka semua tidak berada di rumah. Tidak sangka rupanya kedua-dua beradik itu sebenarnya ada di rumah. Sangat terkilan kerana kedua-dua mangsa juga selalu bermain dengan anak saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Gombak, di sini.

Jelas Rahmat, dia pada mula­nya menyangka rumah binaan papan di hujung yang terbakar tetapi rupanya rumah sewa tiga pintu milik ayahnya terbakar.

“Pada ketika itu, api sedang marak dan kami jiran-jiran dan anggota bomba bantu padamkan kebakaran.

“Rumah dan kediaman yang terbakar itu hanya dipisahkan dengan satu laluan dan rumah berkenaan dibina lewat tahun 1990-an.

“Saya dan jiran-jiran bantu mengalihkan kenderaan, motosikal kerana benar-benar me­nyangka tiada sesiapa di rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Irwan Ka­dis, 39, bersyukur kerana ketika kejadian hanya dia berada di dalam rumah sementara isteri dan dua anak berada di kampung.

Jelasnya, dia hanya menye­dari kebakaran selepas terde­ngar orang mengetuk rumah memaklumkan rumah terbakar.

“Ketika itu saya sedang tidur di ruang tamu dan mengunci jam pada 3.30 pagi kerana akan ke tempat kerja sebagai pemandu lori di Pasar Borong Selayang.

“Saya kemudian hanya sempat mencapai beg mengandungi dokumen sahaja dan ketika itu rumah belum terbakar.

“Selepas itu siling di bilik belakang terjatuh dan asap mula kelihatan menyebabkan saya terus keluar dari rumah,” kata­nya yang sudah enam tahun menyewa di sini.

Tambahnya, dia tidak sempat menyelamatkan barangan lain dan tinggal sehelai sepinggang.

“Namun mujur isteri dan anak tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Pahang sempena cuti sekolah dan akan pulang ke sini esok,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Ja­ba­tan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan punca kebakaran termasuk pendawaian, peralatan mesin dan elektrik.

“Pelbagai perkara dan elemen disiasat termasuk penda­waian, peralatan mesin, peralatan elektrik,”ujarnya.

Terdahulu, Norazam dilaporkan berkata, ketika kejadian, pintu jeriji kediaman berkenaan berkunci dengan ibu bapa mang­sa keluar rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN