Jelajah negara ASEAN dengan Kancil 660cc - Utusan Malaysia

Jelajah negara ASEAN dengan Kancil 660cc

ANTARA gambar kenangan Azman Ali bersama isterinya, Nurul Sharil Iryani Ramli ketika menjelajah Thailand dengan menaiki kereta Kancil 660cc pada Disember lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Sepasang suami isteri di sini tega menempuh cabaran menjelajah ke beberapa negara ASEAN antaranya Laos, Kemboja dan yang paling terbaharu di Thailand dengan hanya menaiki kereta terpakai jenis Perodua Kancil 660cc, baru-baru ini.

Azman Ali, 49, berkata, siri jelajah dan eksplorasi ke beberapa buah negara tersebut menggunakan kereta terpakai yang dibeli pada tahun 2019 berharga RM1,500 membuktikan produk keluaran tempatan juga mampu bertahan sehingga sekarang bergantung kepada penjagaan.

“Asalnya kereta ini dibeli untuk kegunaan anak lelaki setelah memperoleh lesen. Namun, selepas dia melanjutkan pelajaran di UITM Permatang Pauh kereta ini jarang digunakan dan tersadai di rumah.

“Jadi, isteri beri cadangan untuk menggunakan kereta Kancil bagi aktiviti kembara yang kami minati sejak dahulu lagi dan saya menyambut dengan rasa teruja,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kediaman mereka, di sini semalam.

Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, ekspedisi terbaharu ke Thailand bermula pada 3 Disember sehingga 22 Disember lalu melibatkan perjalanan sejauh 7,700 kilometer yang menyimpan 1,001 pengalaman.

“Memang seronok dapat menjelajah ke negara orang yang mana kami dapat mengenali budaya dan masyarakat setempat selain dapat menginsafi diri.

“Apabila melawat kawasan yang boleh dikatakan tidak membangun dan terpinggir membuatkan kita lebih mensyukuri dengan apa yang kita ada di tempat sendiri.

“Pada masa sama, ia dapat menguji kesabaran diri apabila berdepan cabaran yang tidak terduga seperti keadaan cuaca buruk atau keadaan bentuk muka bumi yang boleh mendatangkan kesan kepada kereta Kancil yang bukanlah kenderaan lasak,” katanya yang sering ditemani isterinya Nurul Sharil Iryani Ramli, 40.

Ditanya mengenai kos perbelanjaan sepanjang penjelajahan di Thailand, Azman berkata dia mendapat tajaan daripada sebuah syarikat minyak dan pelincir tempatan.

“Jika tiada penaja, kos perjalanan untuk hampir tiga minggu boleh mencecah RM5,000 termasuk perbelanjaan minyak kereta, penginapan, makan minum dan sebagainya.

“Kadang-kala jika mahu jimat, kami akan bermalam di dalam kereta sahaja, bergantung kepada keadaan,” katanya yang merupakan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dekat Seberang Perai.

Azman menambah, bagi memastikan keadaan kenderaannya itu sentiasa berada dalam keadaan baik, dia akan melakukan pemeriksaan rutin di bahagian enjin, minyak enjin, tayar, air dan sebagainya setiap hari.

“Kereta Kancil ini adalah standard yang dianggarkan sudah berusia 25 tahun. Tiada modifikasi enjin yang dilakukan. ‘Seat’ kereta pun bentuk asal.

“Cuma, kalau kita jaga kenderaan itu dengan baik, maka kenderaan tersebut akan bertahan lama,” katanya yang memasang impian untuk menjelajah ke bumi Mekah menggunakan kereta Kancil itu bersama isterinya kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya