Jangan terperangkap mainan angka Sanusi - Utusan Malaysia

Jangan terperangkap mainan angka Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ahli UMNO diingatkan agar tidak terperangkap dengan mainan angka oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) mampu menang 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, seluruh jentera dan ahli UMNO perlu fokus dalam memberikan penjelasan dan pemahaman kepada rakyat Kedah.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan Barisan Nasional (BN) dan UMNO sentiasa berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi PRN.

“Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) lepas memperlihat perubahan landskap politik di Kedah. Perkara itu perlu diterima dan kita perlu akur bahawa UMNO dan BN tidak berada di zon selesa. Hakikatnya kita perlu mengambil pengajaran dan iktibar atas kekalahan dalam PRU itu namun UMNO Kedah tidak perlu terus meratapi kekalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Muhammad Sanusi menyatakan keyakinan bahawa PN mampu meraih kemenangan sehingga 33 daripada 36 kerusi DUN dalam PRN yang akan dilakukan tahun ini.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah berkata, keyakinan itu berdasarkan sokongan rakyat yang meyakini gabungan berkenaan mentadbir Kedah ketika ini.

Shaiful Hazizy menambah, UMNO Kedah perlu bingkas merangka strategi dan pendekatan baharu demi memastikan landskap politik Kedah berubah dan berpihak kepada mereka.

“Kepada Muhammad Sanusi, saya berharap agar beliau tidak hanya ghairah berpolitik dan mencongak angka bagi PRN hingga melupakan tujuan sebenar menyertai politik iaitu membantu rakyat. Dalam keadaan kos sara hidup kian meningkat serta krisis ekonomi dijangka berlaku tahun ini, sewajarnya isu kebajikan rakyat dipandang serius oleh Menteri Besar serta seluruh Exco kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, keghairahan Muhammad Sanusi dalam mencongak angka wajar digunakan untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat negeri ini seperti dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Jangan biarkan rakyat Kedah terus terhimpit dan menderita dalam menanti bantuan Menteri Besar yang masih belum tiba,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya