Jangan nak cantik, popular sahaja - Norlia Ghani - Utusan Malaysia

Jangan nak cantik, popular sahaja – Norlia Ghani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH lima dekad pelakon kelahiran Klang, Selangor ini menghambakan diri dalam dunia seni. Norlia Ghani masih tegar menyumbang bakti kepada bidang lakonan sehingga ke hari ini.

Dia telah muncul dalam 20 filem, lebih 30 drama dan 22 telefilem. Pada usia 74 tahun, Norlia masih diberi kudrat dan kekuatan untuk terus menjadi pelakon.

Atas minat dan keinginan yang masih menebal, pelakon ini belum sedia menoktahkan kerjaya lakonan yang terbina lebih lima dekad.

Seniwati terulung ini dilahirkan di Jalan Raya West, Klang, Selangor. Dia bagaimanapun membesar di Jalan Raja Uda, Klang sekitar 1960-an.

Minat mendalam terhadap bidang nyanyian membuatkan Norlia sering menyertai kumpulan muzik badan beruniform seperti Tentera Laut dan Pasukan Bomba dan Penyelamat.

Usia remajanya banyak dihabiskan dengan memenuhi undangan nyanyian di majlis dan acara keramaian, termasuk majlis perkahwinan.

TAK TERLINTAS JADI PELAKON

“SAYA tidak pernah bercita-cita menjadi pelakon, sebaliknya lebih berminat menjadi penyanyi.

“Bekas Presiden Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lagu Tanah Air (Papita), Allahyarham Datuk M. Daud mengajak saya menyertai kumpulan muzik pasukan bomba dan menyanyi untuk pelbagai acara serta majlis.

“Ketika itu, saya masih belasan tahun. Saya terima antara RM5 hingga RM10 sebagai upah menyanyi di majlis perkahwinan dan acara rasmi,” ceritanya.

Norlia dibesarkan dalam keluarga sederhana. Ayahnya bekerja sendiri, manakala ibunya merupakan guru sekolah rendah.

“Ibu bapa saya garang. Mereka membesarkan saya dan adik-beradik dengan disiplin dan kasih sayang. Kami tidak pernah terpengaruh dengan aktiviti tidak bermoral. Terima kasih atas didikan mereka yang tegas,” katanya lagi.

TUAH BERGELAR RATU CANTIK

NORLIA tidak menyangka kemenangan dalam pertandingan ratu cantik yang diadakan di bangunan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada penghujung 1960- an membuka jalan bidang lakonan kepadanya.

Kata Norlia, kemenangan tersebut telah membawanya membintangi filem pertama, Kanchan Tirana yang ditayangkan pada 1969.
“Saya mewakili Selangor dalam pertandingan tersebut. Juri ketika itu merupakan nama besar, antaranya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Sarimah Ahmad.

“Saya dipilih sebagai pemenang, sekali gus ditawarkan untuk menghadiri sesi uji bakat pada keesokan harinya.

“Rezeki tidak salah alamat, Saya lulus uji bakat dan terus diminta menjalani penggambaran di sebelah petangnya. Pasangan saya ketika itu adalah Jins Shamsudin,” kongsinya.

Norlia mengakui, dia agak kekok ketika berlakon bersama pelakon handalan seperti Jins. Ditambah pula bekerja di bawah arahan Seniman Agung, P. Ramlee.

“Saya tidak ada asas lakonan, hanya berbekalkan keberanian. Memang ada perasaan malu.

“Saya ini agak ‘kekampungan’. Tidak pandai bergaya atau kelihatan glamor. Namun, P. Ramlee banyak membantu dan membuatkan saya selesa. Kami bersahabat baik, malah banyak ilmu yang saya terima daripadanya.

“Tetapi, peluang bergandingan dengan P.Ramlee tidak banyak. Kami digandingkan dalam tiga atau empat filem sahaja. Saya lebih banyak berpasangan dengan S. Kadarisman,” kongsinya.

Norlia menyifatkan P.Ramlee sebagai insan budiman yang disayangi ramai. Katanya, Seniman Agung itu sering membuat orang lain selesa dengan kehadirannya.

“P. Ramlee disenangi ramai. Dia faham saya pelakon baharu dan tiada pengalaman. Arwah akan berjenaka dan buat sesiapa sahaja yang berlakon di bawah arahannya selesa hingga hilang gemuruh.

“Arwah juga peramah dan sabar. Kalau pelakon bermasalah menjiwai watak, dia akan arahkan pasukan produksi hentikan penggambaran dan berehat. Beri masa pelakon untuk dapatkan keselesaan. Berbeza dengan segelintir pengarah sekarang yang memaki hamun dan mudah berkasar dengan pelakon.

“P. Ramlee insan yang baik dan istimewa. Rajin bersedekah dan membantu orang susah,” ujarnya.

Tambah Norlia, P.Ramlee ibarat abang kepadanya. Pemergiaannya menghadap Ilahi pada 1973 memberi kesan kepada ramai orang yang pernah tersentuh dengan kebaikannya

“Ketika Allahyarham meninggal dunia, rumahnya dipenuhi masyarakat berbilang bangsa yang datang untuk memberi penghormatan terakhir.

“Arwah pemurah dan sentiasa membantu siapa sahaja yang dalam kesusahan tanpa mengira bangsa. Apa yang ada, dia akan berikan,” ceritanya.

TARIK TANGAN, BALING DUIT

BERCERITA tentang pengalaman cemas, Norlia berkata, pengalaman ditarik peminat ketika membuat persembahan di Istana Kelantan sekitar 1980-an antara yang tidak dapat dilupakan.

“Ia berlaku saat saya menghulurkan tangan kepada peminat yang mahu bersalaman dari bawah pentas. Keadaan bertukar cemas apabila saya ditarik dan hampir jatuh ke bawah.

“Mujur ketika itu Allahyarham Tan Sri S.M. Salim dan beberapa pemuzik lain sempat memegang tangan saya. Keadaan ketika itu sangat mencemaskan,” katanya.

Berkongsi pengalaman manis, kata Norlia, antara yang masih melekat dalam ingatannya adalah ketika membuat persembahan di Brunei.

“Sangat mengejutkan apabila peminat baling duit ketika saya menyanyi di atas pentas ketika menjayakan satu acara di daerah Tutong.

“Peminat di sana memang pemurah. Ada juga yang menghadiahkan rantai emas sebagai tanda penghargaan,” maklumnya.

IMPAK WATAK JOYAH

GENERASI yang membesar sekitar 1980-an tentunya sinonim dengan drama Opah yang merupakan idea asal A. Wahid Nasir, diarahkan Zohara Gany Bathusha. Membawa watak Joyah, Norlia mengaku cukup bertuah kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada drama yang melonjakkan namanya sebagai pelakon.

“Opah adalah drama pertama saya. Watak Joyah yang saya lakonkan membawa tuah dan memberi impak cukup besar sepanjang kerjaya lakonan saya.

“Saya sudah muncul dalam beberapa filem ketika mula berlakon dari penghujung 1960-an hingga awal 1980-an. Bagaimanapun, watak Joyah dalam drama tersebut melonjakkan nama saya, sekali gus memperkenalkan saya kepada kepada kelompok peminat lebih ramai. Malah, penduduk di pedalaman dan ceruk kampung juga mengenali saya gara-gara watak tersebut.

“Impak watak tersebut terlalu besar sehinggakan sampai sekarang masih ada yang memanggil saya sebagai Joyah, lebih-lebih lagi penonton luar bandar. Saya bernasib baik kerana terpilih membintangi drama itu di samping pelakon lain seperti Zaiton Hussain, Khatijah Abu Hassan, Zami Ismail dan ramai lagi,” katanya.

Kata Norlia, penglibatan dalam drama yang mula diterbitkan pada 1983 itu adalah pengalaman terbaik sepanjang bergelar anak seni. Katanya, hubungan erat terbina antara semua yang terlibat menjadi pengalaman berharga yang disimpan rapi dalam memorinya.

“The best. Satu produksi, daripada kru penggambaran sehingga pelakon, semua rapat bagaikan keluarga besar. Makan pun bersama-sama, tidak ada yang dibeza-bezakan. Sama ada pelakon, pengarah, kru produksi, semua dilayan sama rata.

“Apa yang lebih manis, setiap pelakon drama itu akan bawa makanan dan jamu kepada yang lain, umpama pot luck. Begitu akrabnya kami waktu itu tidak tergambar dengan kata-kata,” kongsinya.

JANGAN JUAL MUKA

DALAM berkongsi pengalaman, Norlia sempat berbagi nasihat. Katanya, pelakon sekarang jangan jual muka semata-mata, sebaliknya buktikan bakat yang ada.

“Bukan semua, tetapi ramai pelakon sekarang hanya mahu kelihatan cantik sepanjang masa. Setakat jual rupa, bukan bakat.

“Zaman dulu, bakat didahulukan, sementara rupa paras jatuh nombor dua.

“Contohi pelakon seperti Ellie Suriaty. Berilah watak macam mana sekalipun, dia tetap hidupkan dengan baik. Pelakon sekarang, jangan nak cantik dan popular sahaja,” tegurnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya