Jambatan Bagan Datuk-Sejagop siap sebelum Aidilfitri - Utusan Malaysia

Jambatan Bagan Datuk-Sejagop siap sebelum Aidilfitri

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) melawat tapak pembinaan jambatan Bagan Datuk-Sejagop di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Jambatan Bagan Datuk-Sejagop di sini yang menghubungkan daerah Bagan Datuk dengan tiga daerah di Perak dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka boleh digunakan selewat-lewatnya sehari sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyiapan jambatan bernilai RM460 juta dijangka pada 20 April ini mampu memberi impak besar terhadap pembangunan di daerah Bagan Datuk dalam jangka panjang khususnya dalam usaha menarik pelaburan.

Beliau berkata, ini kerana jambatan itu memberi kemudahan kepada akses laluan pengangkutan utama dengan masa lebih singkat seperti ke Lembah Klang dan Pelabuhan Lumut, selain menghubungkan Bagan Datuk dengan daerah Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.

“Apabila WCE siap sepenuhnya nanti, perjalanan dari Lembah Klang ke Bagan Datuk hanya mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit berbanding hampir tiga jam sekarang.

“Saya yakin beberapa pelabur tempatan dan luar negara akan datang ke sini dengan beberapa kilang dalam perancangan untuk dibina dengan sasaran 4,000 peluang pekerjaan diwujudkan buat permulaan disusuli 10,000 peluang pekerjaan lagi menjelang 2030.

“Ia secara tidak langsung akan menggalakkan pembangunan premis komersial, perumahan dan yang lain berpunca daripada kuasa beli yang ada pada pekerja-pekerja tersebut,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan projek jambatan itu di sini hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, projek pembinaan jambatan tersebut sepanjang 10.5 kilometer (km) dengan 1.54 km adalah panjang jambatan merentasi Sungai Perak, mula dibina pada 2016 kini sudah siap 97 peratus.

Jelas beliau, jambatan itu sepatutnya siap dibina pada Oktober 2020 mengikut jadual asal tetapi tertangguh disebabkan beberapa faktor seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, kenaikan kos bahan binaan serta faktor iklim.

Begitupun, menurut beliau, sebarang kenaikan kos akibat kelewatan penyiapan jambatan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor utamanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya