Jalan lama Bukit Putus bakal jadi kawasan tarikan pelancong

Jalan Lama Bukit Putus bakal jadi kawasan tarikan pelancong

CERUN runtuh di beberapa lokasi di jalan lama Bukit Putus yang masih belum dibaiki boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang melalui jalan lama Bukit Putus. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sejak laluan baharu menghubungkan Seremban ke Kuala Pilah dibuka pada 2009, Jalan Lama Bukit Putus yang sebelum ini menjadi laluan utama semakin lengang dan sunyi.

Keadaan tersebut menyebabkan beberapa masalah timbul di jalan yang telah wujud sejak 1920-an dan dikelilingi hutan itu. Ia termasuklah berkaitan penyelenggaraan jalan selain masalah pembuangan sampah haram di beberapa lokasi di sepanjang jalan berkenaan.

Menyedari isu tersebut dan potensi yang ada, kerajaan Negeri Sembilan kini memberi fokus kepada urusan baik pulih, pengindahan, penggunaan sumber alam, pencahayaan lampu jalan dan kebersihan di Jalan Lama Bukit Putus ini.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Muhamad Nahar Mohd. Sidek berkata, perancangan tersebut boleh dilaksanakan apatah lagi selepas Jalan Lama Bukit Putus kini merupakan Jalan Negeri dan statusnya sebagai Jalan Persekutuan telah dibatalkan.

Jelas beliau, ia melalui Warta Kerajaan Persekutuan bagi Pe­rintah Jalan Persekutuan (Malaysia Barat) (Pindaan) (No.8) 2022 P.U.(A) 210/22 yang berkuat kuasa pada 20 Jun 2022.

“Fokus turut akan diberikan kepada aspek keselesaan dan keselamatan dalam usaha dan langkah menjadikan jalan tersebut sebagai kawasan tarikan pelancongan dan laluan alternatif dari Seremban ke Kuala Pilah dan sebaliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambah beliau, untuk tujuan berkenaan, satu lawatan tapak yang melibatkan Jabatan Kerja Raya; Jabatan Perlindu­ngan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta Jabatan Perhutanan Negeri

Sembilan diadakan pada 26 Julai 2022 bertujuan merancang dan menyelaras penyelenggaraan infrastruktur ser­ta fasiliti di jalan tersebut.

“Kawasan laluan berkenaan juga berada dalam kawasan Central Forest Spine (CFS) di Negeri Sembilan. Kerajaan Negeri Sembilan juga telah mengadakan mesyuarat dan perancangan bersama agensi-agensi terlibat termasuk

Lembaga Pelanco­ngan Negeri Sembilan; Majlis Bandaraya Seremban; Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah serta Pejabat Daerah dan Tanah Seremban.

“Ia dalam usaha memastikan kawasan di sepanjang jalan Bukit Putus ini dapat diba­ngunkan mengikut bidang dan kuasa jabatan masing-masing,” katanya.

CFS adalah gugusan kompleks hutan yang diklasifikasikan di bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) untuk empat kawasan/kompleks hutan yang sensitif di Semenanjung yang mempunyai nilai ekosistem dan jumlah hidupan liar yang tinggi.

Kawasan CFS ini merentasi lapan buah negeri iaitu Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

Sementara itu, penganjuran pelbagai program dan aktiviti bersesuaian dilihat berupaya untuk memberi nafas baharu dan mengembalikan kehadiran orang ramai ke Jalan Lama Bukit Putus yang mempunyai keunikan dan potensi pelancongannya yang tersendiri.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, apabila statusnya ditukar kepada Jalan Negeri, kerajaan negeri juga mempunyai kuasa untuk menutup sementara jalan tersebut bagi memberi laluan kepada penganjuran pelbagai acara dan program.

“Sebelum ini, jalan tersebut tidak boleh ditutup kerana ia merupakan Jalan Persekutuan. Selepas ini mungkin boleh diadakan pelbagai program seperti hari tanpa kenderaan di mana orang ramai boleh berbasikal dan berjoging di sepanjang jalan ini.

“Selain itu, apabila jalan ini kembali dihidupkan dengan pelbagai aktiviti, pasti tiada lagi isu pembuangan sampah haram seperti yang berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Pilah baru-baru ini.

PEMANDANGAN Jalan Lama Bukit Putus (kiri) dan Jalan Seremban-Kuala Pilah yang telah dijadikan jalan utama sejak tahun 2009.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Mohd. Faizal berkata, Jalan Lama Bukit Putus tersebut merentasi dua buah daerah iaitu Seremban dan Kuala Pilah, oleh itu pihaknya juga telah ada memperoleh sejumlah peruntukan kecil bagi bersama-sama membangunkan semula jalan berkenaan mengikut bidang kuasa yang ada.

“Sebagai contoh, baru-baru ini kami telah menerima peruntukan kecil bagi mencantikkan semula kawasan replika tanjak dan arca bertulisan Kuala Pilah yang ada sekali gus boleh menceriakan laluan ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya