Jakel terbakar: Warganet timbul spekulasi - Utusan Malaysia

Jakel terbakar: Warganet timbul spekulasi

Jakel warganet
TINDAKAN warganet sengaja menimbulkan spekulasi dengan membuat dakwaan melulu terhadap kebakaran sebuah cawangan Jakel boleh dikenakan tindakan undang-undang. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan segelintir pengguna media sosial umpama ‘mencurah minyak ke api’ apabila mendakwa kebakaran gedung tekstil milik Jakel di Seksyen 7 di sini sebagai cubaan untuk mendapat ‘laba’ menerusi tuntutan insurans.

Malah, mereka turut mendakwa kebakaran tersebut seolah-olah disengajakan kerana mempercayai syarikat penjual kain dan pakaian terkenal itu memerlukan modal untuk beroperasi di bangunan baharu dengan produk terkini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim menyelar tindakan warganet berkenaan dan menyifatkan kenyataan mereka boleh diambil tindakan oleh pemilik Jakel.

“Memang boleh kena tindakan undang-undang, jika laporan bomba sebaliknya. Pemilik (Jakel) boleh ambil tindakan sivil atau saman malu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Namun, beliau memaklumkan tiada laporan polis berkenaan kenyataan itu dibuat mana-mana pihak termasuk pemilik Jakel dan menyatakan bomba masih lagi menyiasat punca kebakaran.

“Setakat ni pihak polis tak terima sebarang laporan berkaitan perkara tersebut (sengaja dibakar) daripada mana-mana pihak. Bomba masih sedang menyiasat ketahui punca kebakaran.

“Pihak polis pohon netizen tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau andaian berkaitan perkara ini,” tegasnya.

Terdahulu, lebih RM100 juta anggaran kerugian awal dilaporkan apabila sebuah cawangan gedung kain dan pakaian terkenal di sini yang mampu mengaut keuntungan sehingga RM300 juta musnah dalam kejadian kebakaran pada awal pagi semalam.

Bangunan lot kedai tiga tingkat ikonik di persimpangan Persiaran Kayangan dan Persiaran Permai berdekatan pintu belakang kampus induk Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dijilat api sebelum sepasukan bomba seramai 38 orang bersama sembilan jentera dari tujuh balai dikerahkan ke sana.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, hampir RM100 juta kerugian bagi bangunan lot kedai tiga tingkat yang musnah dalam kebakaran tersebut sebelum mengambil kira kain dan pakaian hangus. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya