JAC perlu bebas campur tangan PM

JAC perlu bebas campur tangan PM

Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri melantik hakim dan ahli suruhanjaya dicadang dikaji semula bagi memastikan urus tadbirnya bebas daripada pengaruh politik dan kuasa eksekutif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam berpendapat sudah tiba masa­nya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri melantik hakim dan ah­li suruhanjaya dikaji semula bagi memastikan urus tadbir­nya bebas daripada pengaruh politik dan kuasa eksekutif.

Pindaan tersebut perlu bagi menye­mak peruntukan terhadap perwakilan pihak berkepentingan atau orang ternama dalam suruhanjaya supaya selepas ini hanya Peguam Negara dan Majlis Peguam yang sepatut­nya diberikan kuasa untuk me­lantik keanggotaan suruhanjaya itu.

Pada masa ini JAC mempunyai sembilan anggota, empat ahlinya adalah hakim yang sedang memegang jawatan paling kanan manakala lima lagi ahli dilantik Perdana Menteri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah Yee Lynn berkata, terdapat kebimba­ngan apabila keanggotaan dalam su­ruhanjaya itu tidak seimbang dan dikhuatiri membawa kepentingan pihak tertentu jika Perdana Menteri terus diberi kuasa me­lantik mengikut budi bicaranya.

“Disebabkan itu, adalah pen­ting bahawa kerajaan hari ini yang pada awal lagi menyata­kan tegas dalam tadbir urus yang baik, meneruskan langkah ke hadapan dengan mempunyai ke­sanggupan politik untuk membuat pindaan diperlukan.

“Kami akan terus menyuara­kan bahawa komposisi ke­se­­lu­­ruhan JAC haruslah men­cer­­min­kan kepelbagaian dan ke­­te­rang­kuman, dan seboleh-bo­lehnya mencerminkan demografi penduduk dalam semua as­pek.

“Jika komposisi JAC ini men­cerminkan masyarakat Ma­lay­sia, ia akan memperkasa ke­yakinan awam dan meneri­ma keputusan yang dibuat oleh badan kehakiman kerana hakim-hakim ini pada dasarnya akan mewakili dan membuat keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Peguam, Mior Nor Haidir Suhaimi bagaimanapun berpendapat, pindaan di dalam akta berkenaan bagi menggugurkan kuasa Perdana Menteri tidak akan menyelesaikan masalah selagi nilai integriti tidak diterapkan dalam mana-mana badan yang berkuasa melantik selepas itu.

Ini termasuk Majlis Peguam atau badan berkaitan yang akan diberi kuasa melantik hakim serta ahli suruhanjaya dikhuatiri cenderung terhadap pihak berkepentingan atau parti politik.

“Memang benar pindaan ini yang mana tidak perlu melalui Perdana Menteri, tetapi kita perlu satu badan yang boleh mengesahkan kedudukan mereka (badan melantik) yang tidak berbelah bahagi kepada sesiapa. Persoalannya, ada atau tidak jalan lain untuk kita mengurangkan isu salah guna kuasa?

“Saya lebih gemar jika jawatankuasa yang ada kecenderungan salah guna kuasa diletakkan di bawah Parlimen supaya lebih terbuka dipersoal wakil-wakil rakyat. Sebab itu dicadang dari dahulu lagi untuk menubuhkan ombudsman bagi menyelia semua perkara berkenaan perundangan, pelaksanaan dan penguatkuasaan,” katanya.

Seksyen 5(1)(e) dan (f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 memperuntukkan, seorang Hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah dilantik oleh Perdana Menteri, dan empat orang yang terkemuka (bukan eksekutif atau perkhidmatan awam lain) selepas berunding dengan Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguam Bela Sarawak, Peguam Negara Persekutuan, Peguam Besar perkhidmatan perundangan negeri atau mana-mana badan berkaitan.

Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan, Ketua Hakim Negara; Presiden Mahkamah Rayuan; Hakim Besar (Malaya); Hakim Besar (Sabah dan Sarawak); hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri, selepas berunding  dengan Majlis Raja-Raja.

Pada 30 November 2022, Pengerusi Mesyuarat Majlis Raja-Raja, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir pernah menggesa supaya pelantikan lima ahli JAC tidak dilakukan oleh Perdana Menteri, sebaliknya, diberikan kepada Majlis Peguam Malaysia; Persatuan Undang-Undang Sabah; Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.

Bagaimanapun, pada 4 Disember 2022, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dilaporkan membantah cadangan pelantikan kehakiman tidak boleh diserahkan kepada badan peguam.

Hal ini kerana, dibimbangi hakim terpaksa ‘melutut’ kepada peguam yang hadir dalam sesuatu kes di mahkamah pada masa sama merupakan ahli JAC.

Pada pembukaan Tahun Perundangan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 9 Januari lalu, Majlis Peguam menggariskan 65 reformasi undang-undang  yang antara lain menggesa kerajaan untuk menubuhkan tribunal bagi menyemak gaji dan elaun diterima hakim-hakim negara ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya