Isu dana RM92.5 bilion; PN sedia beri kerjasama - Utusan Malaysia

Isu dana RM92.5 bilion; PN sedia beri kerjasama

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Perikatan Nasional (PN) sedia memberi kerjasama pada bila-bila masa sekiranya diminta memberi keterangan berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM92.5 bilion tanpa tender ketika era pentadbiran di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya tidak mempunyai apa-apa yang mahu disembunyikan selain menghormati Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tugas membabitkan dakwaan penyelewengan dana tersebut.

“Sekiranya dipanggil (SPRM), kami bersedia (beri kerjasama). Namun, saya rasa ini adalah satu perkara yang dilakukan atas niat politik dan kita kena faham di Malaysia sekarang ini satu-satunya gabungan yang menjadi pencabar kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan kerajaan yang ada sekarang ialah PN.

“Hal ini kerana PN mempunyai pemimpin yang berkebolehan menjadi Perdana Menteri (dalam meneraju negara).

“Jadi, bagi saya usaha-usaha yang dilakukan seperti pembunuhan karakter Muhyiddin dan karakter PN ini akan berterusan di mana dalam sepanjang tahun ini (terdapat) usaha untuk memburukkan dan membuat rakyat ragu-ragu dengan integriti dan kredibiliti pemimpin PN akan kelihatan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Penubuhan Kelompok Tani Nyior Sebatang, di sini hari ini.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor menambah, pihaknya juga menjangkakan akan wujudnya usaha-usaha ‘penyucian’ imej kepada beberapa pemimpin ‘kluster mahkamah’ selain terdapat usaha yang dilihat untuk mencemar kredibiliti PN.

“Saya menghargai kenyataan yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara baru-baru ini yang mengatakan ada usaha menekan institusi kehakiman, tapi institusi kehakiman kita berdiri teguh dengan integriti mereka.

“Malah, saya yakin rakyat akan ternanti-nanti apa yang akan berlaku dengan kes-kes mahkamah berprofil tinggi (melibatkan) (Tan Sri) Shahrir Ab. Samad yang mana kita dah tahu keputusannya, (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor termasuk (kes) yang paling besar (Datuk Seri Dr. Ahmad) Zahid Hamidi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut tidak terkejut sekiranya ada lagi pemimpin-pemimpin PN akan dipanggil untuk memberi keterangan sambil menyifatkan usaha tersebut sebagai agenda politik semata-mata.

“Tidak mengapalah. Kita bagi keterangan kalau dipanggil kerana hendak bagi laluan kepada pegawai penyiasat menjalankan tugas,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan berlaku perlanggaran serius berhubung prosedur perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan di bawah Muhyiddin yang ketika itu merupakan Perdana Menteri.

Minggu lalu, Muhyiddin bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilapor akan dipanggil SPRM berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion ketika pandemik Covid-19.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan semalam berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya