Ibu tunggal OKU mohon rumah baharu - Utusan Malaysia

Ibu tunggal OKU mohon rumah baharu

ROZLINA Ismail menunjukkan laluan ke rumah sewanya yang berbukit sekali gus sukar untuk bergerak di Kampung Melayu di Jerantut, Pahang. - UTUSAN /HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: “Harap kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat membantu sebuah kediaman baharu yang selamat,” kata ibu tunggal yang juga orang kurang upaya (OKU), Rozlina Ismail di Kampung Melayu, pinggir bandar Jerantut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rozlina, 54, yang cacat kedua bahagian anggota kaki berkata, dia kini tinggal bersama seorang anak perempuan yang berusia 18 tahun di sebuah rumah sewa di kampung tersebut sejak setahun lalu agak sukar bergerak menggunakan kerusi roda keluar ke bandar dan ke tempat lain kerana jalan berbukit.

“Jalan masuk ke rumah sewa ini berbukit dan tinggi menyukarkan saya bergerak keluar malah membimbangkan ketika menggunakan motosikal OKU setiap kali keluar urusan tertentu.

“Pernah sebelum ini beberapa kali saya hampir terjatuh ketika membawa motosikal OKU untuk menghantar kuih-muih kepada rakan yang menjual dan selepas kejadian itu, saya tidak berani lagi menggunakan kenderaan ini,” katanya di sini semalam.

Menurut Rozlina, dia merupakan peminjam Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjumlah RM5,000 untuk modal membuat dan menjual kuih gunting, kek batik dan beberapa jenis kuih kering cuma memperoleh pendapatan kira-kira RM180 seminggu.

“Setiap minggu saya perlu membayar kembali pinjaman AIM RM114 dan selebihnya hanya untuk modal belanja bahan membuat kuih dan barang keperluan dapur,” katanya.

Beliau menjelaskan, sejak suaminya, Azmi Jamaluddin meninggal dunia 12 tahun lalu, dia mengambil alih tugas membesarkan tiga orang anak yang kini sudah pun berusia antara 18 hingga 25 tahun dengan membuat dan menjual kuih-muih.

Menceritakan nasibnya sebagai wanita OKU, Rozlina yang berasal dari Kuantan menambah, dia menghidap penyakit polio dan demam panas sejak berusia setahun dan tanpa rawatan perubatan berikutan ibu bapanya yang susah sehingga mengubah anggota fizikalnya cacat di bahagian kedua belah kaki dan tidak boleh berjalan sehingga ini.

“Saya hanya menggunakan kerusi roda bergerak di dalam rumah dan luar. Sejak beberapa kali hampir terjatuh, saya tidak menggunakan motosikal OKU lagi bimbang keselamatan ketika menaiki dan menuruni bukit di depan rumah,” katanya.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memberikan bantuan bulanan RM450, manakala Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menyumbangkan barang makanan bernilai RM200 yang diperoleh daripada Pasaraya Darul Makmur (PDM) di bandar ini.

“Bantuan ini hanya menampung membayar sewa rumah RM500 dan selebihnya untuk modal berniaga, membeli barang keperluan dapur, membayar bil elektrik dan air.

“Mana mampu saya hendak membeli tapak dan membina rumah baharu sedangkan pendapatan jualan kuih-muih langsung tidak mencukupi termasuk membayar semula pinjaman AIM,” katanya.

Ibu tunggal itu juga berterima kasih kepada Skuad Cakna Masjid Tengku Mahkota Abdullah Jerantut yang menyumbangkan barang makanan secara berkala dan kerap mengambil berat kebajikan keluarganya.

Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah membantu Rozlina boleh menghubunginya menerusi talian 01117952176 atau sumbangan terus ke akaun bank CIMB bernombor 7607071800. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya