Hajat mahu berkelah, ziarah bapa saudara tidak kesampaia

Enam maut: Hajat mahu berkelah, ziarah bapa saudara tidak kesampaian

KEADAAN kereta Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan maut meragut enam nyawa di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat-Mersing, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Perjalanan sebuah keluarga untuk berkelah dan menziarahi bapa saudara mereka di Mersing berakhir tragedi selepas salah sebuah daripada kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan semua enam orang di dalamnya maut, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 4.40 petang di Kilometer 71 Jalan Batu Pahat-Mersing itu, mereka yang maut dan enam lagi mangsa yang cedera masing-masing menaiki Perodua Myvi serta Honda Stream.

Seorang ahli keluarga, Mohd. Arifin Syamsuddin, 32, berkata, mereka bergerak dari Layang-Layang kira-kira pukul 4 petang menaiki tiga buah kenderaan dan kereta Perodua Myvi dipandu oleh Mohd. Sharizan Syafandi, 24, berada di hadapan.

Namun, katanya, jarak antara mereka yang agak jauh menyebabkannya tidak dapat melihat punca kejadian, tetapi menyedari kemalangan itu sebaik sahaja melihat kereta Perodua Myvi sudah terbalik di tepi jalan.

“Tanpa membuang masa saya dan sebuah kereta lagi berhenti dan keluar untuk menyelamatkan mangsa, namun tersentak selepas mendapati lima daripadanya sudah tidak bernyawa.

“Adik ipar, Siti Nurzannah Kahdar, 25, ketika itu masih sedarkan diri dan kami keluarkan sebelum dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik hospital itu.

Ketika mengeluarkan mangsa, dia mendakwa terkena renjatan elektrik, namun tidak mengendahkannya kerana semua yang terlibat adalah saudara terdekatnya.

“Orang ramai yang berada di situ tidak berani turun ke kawasan itu dan saya tekad membawa mereka keluar seorang demi seorang bermula dengan mendukung anak perempuan saya yang sudah terkulai di riba ibu saudara di kerusi penumpang hadapan,” katanya.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika semua mereka dalam perjalanan untuk berkelah dan menziarahi bapa saudaranya di Mersing sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Dalam nahas itu, anak sulungnya, Mohd. Ashraf Rafiq, 11, dan anak saudaranya yang juga adik-beradik, Muhammad Zharfan Noramin, 15, serta Muhammad Syakir, 10, meninggal dunia.

Turut maut ialah Siti Nurzannah ketika menerima rawatan di HEBHK Kluang.

Dua lagi mangsa yang maut ialah seorang lagi adik iparnya, Masrina Kahdar, 20, dan seorang lagi ahli keluarga, Muhammad Adil Abdul Kahdir, 22, yang berada di tempat duduk penumpang belakang.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrain Mohd. Noh dilaporkan berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu Mohd. Sharizan datang dari arah Kluang menuju ke Kahang dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Berpunca kejadian itu, kereta Honda Stream dari arah Kahang tidak sempat mengelak dan seterusnya melanggar bahagian kiri kereta Perodua Myvi berkenaan. Akibat pelanggaran itu, kereta Perodua Myvi terbalik lalu jatuh ke kawasan lapang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN