Guru terjejas banjir lapor YGMB untuk bantuan

Guru terjejas banjir lapor YGMB untuk bantuan

WAN Munadi Wan Mamat (kanan) bersama Rozaini Ahmad (kiri) menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada waris bekas guru, Mohd. Azizan Said di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) meminta ahlinya yang terjejas akibat banjir di seluruh negara ketika ini tampil membuat laporan bagi membolehkan bantuan bencana alam itu disalurkan dalam masa terdekat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat, yayasan berkenaan dalam proses mengumpul data kesemua guru terlibat termasuk di Kelantan dan Terengganu.

“Dalam masa terdekat YGMB menyusun majlis penyerahan bantuan banjir di kedua-dua negeri itu serta banjir yang sedang berlaku di Johor ketika ini. Jadi kita mengingatkan kepada guru yang terjejas akibat banjir ketika ini menuntut manfaat bagi membolehkan kita membuat bayaran untuk meringankan beban mereka.

“Bantuan ini adalah salah satu daripada 25 manfaat bagi guru yang menjadi ahli YGMB,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan khairat kematian kepada seorang waris guru yang meninggal dunia akibat kanser payudara di sini, hari ini.

Sumbangan berjumlah RM27,009.86 di bawah Skim 18 yang ditawarkan YGMB itu disampaikan kepada warisnya, Azizan Said, 53, yang bekerja sendiri sebagai tukang besi setelah isterinya, Norita Mohd. Yatim, 49, yang merupakan guru bahasa Inggeris meninggal dunia September tahun lepas. 

Pada majlis itu, Azizan menerima sumbangan tersebut yang disampaikan oleh Pengarah Pendidikan Negeri, Rozaini Ahmad.

Tambah Wan Munadi, pihaknya akan mula menyalurkan bantuan tersebut di seluruh negara kepada guru yang mendaftar dengan yayasan berkenaan ekoran banjir yang semakin reda.

Menyentuh tentang sumbangan khairat kematian itu katanya, yayasan menyalurkan sebanyak RM1.5 juta setahun bagi membiayai ahlinya yang kini berjumlah 110,000 guru di seluruh negara.

Sementara itu, Rozaini berkata, Jabatan Pendidikan Negeri menggalakkan guru di Kedah terutama yang baru dilantik menyertai yayasan tersebut bagi membolehkan mereka mendapat pelbagai manfaat yang diperuntukkan YGMB.

“Lebih kurang 300 guru dilantik setiap tahun jadi kita galakkan mereka menyertai YGMB ini  yang dilihat mempunyai keprihatinan tinggi terhadap warga pendidik,” katanya.

Dalam pada itu, ujar Azizan, mereka sekeluarga amat terharu dengan sumbangan khairat kematian berkenaan yang akan digunakan bagi persekolahan dua anak yang berusia 15 dan 11 tahun. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya