Fasiliti universiti terhad, pelajar jadi mangsa

Fasiliti universiti terhad, pelajar jadi mangsa

Pelajar universiti yang tidak mendapat asrama sanggup tinggal bersempit-sempit di rumah sewa kerana mahu menjimatkan kos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengambilan pelajar yang tidak seimbang dengan kapasiti kemudahan penginapan di dalam kampus menyebabkan mereka menjadi mangsa keadaan sehingga terpaksa mencari rumah sewa dan menanggung perbelanjaan melebihi RM1,000 sebulan untuk meneruskan kehidupan.

Malah mereka terpaksa bekerja sambilan termasuk berniaga secara dalam talian bagi menampung kos pengajian, perbelanjaan harian dan sewa kediaman yang semakin meningkat.

Pendapatan sekitar RM1,000 sebulan yang diperoleh, khususnya hasil jualan itu, sedikit sebanyak dapat menampung semua kos yang ditanggung, namun ia ‘mencuri’ masa mereka yang sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.

Salah seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Muhammad Danish Afwan Abdul Shukor, 23, berkata, jika hanya bergantung kepada bantuan kewangan daripada keluarga, ia masih tidak mencukupi memandangkan dia perlu membayar rumah sewa sebanyak RM240 sebulan selain kos makanan dan pengangkutan.

“Saya terpaksa bekerja sambilan kerana duit bulanan sebanyak RM500 yang diberi keluarga tidak mencukupi. Selepas membayar rumah sewa, ada komitmen lain perlu dibayar, jadi jumlah kos sara hidup saya di sini sahaja sudah menelan sebanyak RM1,500 sebulan.

“Kalau makanan pula, adakalanya terpaksa dicatu dan selalunya saya dan rakan akan beli bahan mentah dan memasak di rumah, dari situ dapatlah sedikit mengurangkan perbelanjaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Danish menambah, ibu dan bapanya juga sudah tidak bekerja dan hanya bergantung kepada duit bantuan, jadi wang yang diterimanya itu digunakan untuk membeli barang keperluan apabila perlu sahaja.

Seorang pelajar tahun akhir di sebuah universiti pula yang sedang menjalani latihan industri, Farisha Razali, 25, berkata, elaun yang diterimanya memang tidak mencukupi dan dia juga terpaksa bekerja sambilan di kedai runcit berhampiran rumah sewanya bagi memperoleh pendapatan sampingan untuk menampung kos hidup di bandar.

“Elaun yang diterima hanya RM500, untuk sewa rumah pula, saya perlu bayar RM400 sebulan, itu belum termasuk bil air dan elektrik, baki duit pun tinggal berapa sahaja untuk membeli barang keperluan dan makan minum. Walaupun saya ada bekerja sambilan, pendapatan yang diterima itu agak sedikit dan masih tidak mencukupi.

“Tambahan pula saya duduk di Kuala Lumpur, sudah pasti kebanyakannya memakan kos yang tinggi, jadi adakalanya saya terpaksa mengikat perut dan berjimat cermat sehingga hujung bulan,” katanya.

Selain itu, bagi seorang pelajar IPTA, yang ingin dikenali sebagai Nabilah berkata, perbelanjaan ketika menjalani latihan industri pada semester kali ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan semester lepas.

Tambahan pula, dengan tidak mempunyai kenderaan sendiri bagi memudahkan ulang-alik ke tempat kerja, dia terpaksa menempah melalui aplikasi e-panggilan atau perkhidmatan teksi dalam talian selain perlu membayar kos rumah sewa yang agak tinggi.

“Kalau pengangkutan, kos tambang pergi dan balik tidak menentu, misalnya jika saya tempah di waktu puncak dan banyak permintaan pelanggan ketika itu, harga teksi akan naik dan mahal.

“Jadi dalam sebulan, saya menghabiskan kira-kiranya RM500 lebih, dan wang elaun dalam sebulan tidak mampu untuk menampung jumlah tersebut, itu belum lagi perlu bayar harga rumah sewa RM340 sebulan, itupun tidak termasuk bil air dan elektrik,” katanya.

Nabilah menambah, dengan adanya pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM3,000 untuk semester ini, wang tersebut sedikit sebanyak dapat menampung pembiayaannya.

Sementara itu, pelajar tahun kedua semester lima, Nur Zahidah Mardiah Roslan, 23, berkata, perbelanjaan dalam sebulan semenjak tinggal di rumah sewa ialah sebanyak RM800 hingga RM1,200.

“Dalam sebulan, saya memperuntukkan sebanyak RM600 bagi belanja makan, itu tidak termasuk keperluan lain dan kos rumah sewa sebanyak RM400 yang dikongsi bersama seorang lagi rakan saya.

“Semenjak duduk di rumah sewa, saya juga sering menghadapi masalah rangkaian internet lemah ketika hendak menyiapkan tugasan kuliah,” luahnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bahasa Kulliyah dan Pengurusan (KLMSS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ummi Khalilah Azman berkata, fasiliti IPTA harus ditingkatkan bagi menjaga kebajikan pelajar kerana semakin hari semakin ramai pelajar diambil bagi meneruskan pengajian mereka.

Menurutnya, kebajikan dan keselesaan pelajar juga harus dijaga supaya sesi pembelajaran dapat dijalankan dengan lancar tanpa membebankan pelajar.

“Dahulu hanya 15 hingga 20 orang pelajar di dalam sebuah kelas tetapi kini boleh mencapai 35 orang pelajar malah sesebuah kuliah akan ada lebih 100 pelajar. Bilik kuliah pula tidak begitu besar untuk menampung ramai pelajar, jadi pelajar akan berasa kurang selesa dan tidak fokus semasa sesi pembelajaran.

“Terdapat juga kelas-kelas yang diwajibkan bagi semua pelajar diadakan pada waktu malam kerana berlaku pertindihan kelas pada waktu siang disebabkan bilik kuliah yang terhad,” katanya.
Ummi berkata, beliau difahamkan pada kemasukan sesi akan datang, segelintir pelajar terpaksa mencari rumah sewa sendiri kerana universiti tidak mampu lagi menyediakan tempat kediaman untuk mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN