EIA projek taman teknologi di Bertam lulus, perlu patuh syarat ketat - Utusan Malaysia

EIA projek taman teknologi di Bertam lulus, perlu patuh syarat ketat

SHARIFAH ZAKIAH Syed Sahab (tiga dari kiri) ketika menghadiri sesi taklimat bersama beberapa penggerak projek berhubung kelulusan EIA untuk projek Taman Teknologi Pulau Pinang (Parcel 1A) di Bertam, Kepala Batas semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang akhirnya bersetuju meluluskan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi cadangan pembangunan kawasan perindustrian Taman Teknologi Pulau Pinang (Parcel 1A) di Bertam, di sini.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, kelulusan itu bagaimanapun bergantung kepada komitmen yang diberikan oleh pemaju khususnya dalam mematuhi beberapa syarat ketat.

Beliau berkata, antara sebab kelulusan itu diberikan ialah ketiadaan komponen asrama pekerja daripada cadangan asal pembangunan kawasan perindustrian itu berikutan pelbagai bantahan yang diterima daripada penduduk setempat sebelum ini.

Selain itu katanya, kelulusan EIA juga dipertimbangkan selepas pemaju menyatakan kesediaan untuk menempatkan industri berteknologi tinggi dengan pelepasan sifar atau ‘zero discharge’.

“Laporan EIA bagi cadangan pembangunan projek ini telah dikemukakan kepada JAS Pulau Pinang sebanyak empat kali.

“Bagaimanapun, ia hanya diluluskan pada 23 Disember lalu setelah kami berpuas hati dengan langkah-langkah kawalan serta beberapa penambahbaikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, satu sesi taklimat berhubung kelulusan EIA untuk projek terbabit telah diadakan dengan dihadiri oleh beberapa penggerak projek termasuk Lestari Duta Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Penang semalam.

Mengulas lanjut, Sharifah Zakiah berkata, bagi memastikan laporan EIA untuk projek berkenaan dinilai secara telus dan komprehensif, pelbagai agensi teknikal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta panel pengulas pakar yang dilantik oleh JAS negeri turut dilibatkan.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, antara syarat yang dikenakan untuk mendapat kelulusan EIA bagi projek tersebut ialah keperluan untuk menaik taraf jalan dan persimpangan ke kawasan Bertam terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya kesesakan trafik apabila projek itu berjalan kelak.

Jelas beliau, kerja-kerja penaiktarafan itu selaras dengan hasil kajian impak trafik (TIA) yang telah diluluskan oleh Jabatan Kejuruteraan MBSP sebelum ini.

“Selain itu, hanya industri bersih, hijau dan berteknologi tinggi serta tidak mencemar sahaja dibenarkan selain perlu mendapat kelulusan JAS terlebih dahulu (sebelum beroperasi).

“Turut disyaratkan adalah amalan pelepasan sifar bagi semua plot industri bagi memelihara kualiti air sungai sedia ada yang turut menempatkan cadangan muka sauk (takat pengambilan air ) milik PBAPP,” katanya yang berharap projek itu memberi keutamaan kepada komuniti setempat atau penduduk tempatan dari segi peluang pekerjaan.

Tambahnya, pelaksanaan projek itu akan dipantau oleh JAS bagi memastikan pembangunan yang dijalankan memenuhi syarat kelulusan yang diberikan selain mematuhi semua peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya