Dua termasuk penuntut warga Singapura didakwa rasuah polis

Dua termasuk penuntut warga Singapura didakwa rasuah polis

Donovan Sia Qi Xun (kiri) dan rakannya, Law Wen Xiang didakwa atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM90,000 kepada seorang pegawai polis di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua rakan termasuk seorang penuntut warganegara Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM90,000 kepada seorang pegawai polis pada Oktober, tahun lalu.

Tertuduh, Law Wen Xiang, 32, dan Donovan Sia Qi Xun, 27, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wen Xiang dan Qi Xun didakwa memberi rasuah sebanyak RM90,000 kepada seorang inspektor polis yang bertugas sebagai Pegawai Risikan dan Operasi di  Bahagian Siasatan Jenayah Komersial di Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di hadapan sebuah restoran di Jalan Suria 19, Taman Suria Johor Bahru pada pukul 5.45 petang, 17 Oktober tahun lalu.

Mereka didakwa membuat sogokan tersebut supaya pegawai polis itu tidak mengambil tindakan ke atas Qi Xun yang merupakan warganegara Singapura kerana disyaki melakukan kesalahan penipuan.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, Wen Xiang dan Qi Xun turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai satu perempat daripada tempoh yang lama atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Chan Choon Yew memberitahu, kesalahan tersebut tidak boleh jamin namun jika mahkamah membenarkan, beliau mencadangkan jaminan ditetapkan sebanyak RM70,000 seorang.

Dalam pada itu, peguambela Wen Xiang, K. Veeranesh Babu meminta mahkamah memberikan jaminan minimum kepada tertuduh yang bekerja membaiki telefon bimbit dengan gaji bulanan sebanyak RM2,000, manakala peguambela Qi Xun, Mohamad Isa Mohamad Basir turut meminta jaminan rendah kerana anak guamnya merupakan seorang penuntut di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur dan bergantung dengan wang belanja diberikan ibu bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan masing-masing tertuduh dikenakan jaminan berjumlah RM40,000 dengan seorang penjamin, selain turut perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Johor sebulan sekali.

Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan 19 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen pengurusan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya