Dua pengarah syarikat didakwa beri dokumen palsu kepada syarikat audit - Utusan Malaysia

Dua pengarah syarikat didakwa beri dokumen palsu kepada syarikat audit

WONG Ping Kiong hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mengemukakan dokumen palsu. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada syarikat pengauditan berhubung penjualan dan pelupusan mesin terpakai bernilai RM2.95 juta.

Pengarah GIIB Rubber, Wong Ping Kiong, 59, didakwa atas empat pertuduhan manakala Tai Boon Wee, 62, yang juga pengarah syarikat sama didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat melakukan perbuatan itu.

Bagi pertuduhan pertama, Ping Kiong didakwa mengemukakan nota debit GIIB Rubber mengandungi butiran palsu kepada pengurus audit Grant Thornton Malaysia PLT berhubung penjualan enam unit mesin terpakai bernilai RM2.95 juta kepada Top Rate Engineering Works.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat memperdayakan syarikat pengauditan tersebut walhal penjualan mesin berkenaan tidak berlaku.

TAI Boon Wee hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan mengemukakan dokumen palsu. – UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Ping Kiong didakwa mengemukakan dokumen palsu kepada individu sama agar kebenaran diberikan kepada Goodway Rubber Industries Sdn. Bhd. untuk melupuskan mesin sama bernilai RM2.95 juta kepada Top Rate Engineering.

Sementara itu, Boon Wee turut didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Ping Kiong melupuskan mesin-mesin berkenaan di antara bulan Januari dan Februari 2021 di Pejabat Grant Thornton Malaysia PLT, Sheraton Imperial Court, Jalan Sultan Ismail di sini.

Hakim Suzana Hussin membenarkan Ping Kiong diikat jamin RM60,000 manakala Boon Wee RM50,000 dengan seorang penjamin masing-masing dan menetapkan tarikh sebutan bagi kedua-dua kes pada 28 Februari ini.

Mahkamah turut memerintahkan pasport kedua-dua tertuduh ditahan sebagai syarat jaminan dan mengarahkan mereka melapor diri ke Pejabat SPRM terdekat pada Isnin setiap awal bulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memohon jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dan dua syarat jaminan tambahan.

Bagaimanapun, peguam Amer Hamzah Arshad memohon jaminan di antara RM30,000 dan RM40,000 atas alasan kedua-dua anak guamnya memberikan kerjasama kepada SPRM ketika siasatan.

Hujah peguam bela, jaminan RM100,000 yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan terlalu tinggi manakala tiada bukti yang menunjukkan kedua-duanya akan melarikan diri.

Ujar Amer Hamzah, kesalahan yang didakwa dilakukan hanya berkaitan penyerahan dokumen kepada syarikat pengauditan tanpa melibatkan kerugian wang.

Bagaimanapun, Chin How berhujah bahawa jaminan itu munasabah berdasarkan kepada nilai wang yang dinyatakan dalam pertuduhan mencecah RM3 juta.

Pendakwaan berhujah, dokumen yang diserahkan itu menyebabkan syarikat pengauditan menyediakan laporan audit mengandungi butiran palsu kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Dalam pada itu, Amer Hamzah memaklumkan pihak pembelaan akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) agar pertuduhan terhadap anak-anak guamnya dipertimbangkan.

Ping Kiong didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Boon Wee pula didakwa bersubahat mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 18 akta itu. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.