KUALA LUMPUR: Keinginan seorang ibu mengandung keluar makan kerana mengidam menjadi mimpi ngeri kepada wanita itu apabila dua anaknya yang ditinggalkan ketika tidur mati rentung dalam kebakaran di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanggut, Gombak, di sini semalam.
Dalam kejadian membabitkan tiga buah rumah pada pukul 3.53 pagi itu meragut nyawa Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adik lelakinya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7.
Kebakaran dikatakan bermula di rumah yang dihuni dua beradik itu sebelum merebak ke rumah lain.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, nenek mangsa yang ingin dikenali sebagai Normala, 48, berkata, ketika kejadian, anaknya yang mengandung lapan bulan dan menantunya keluar makan sebelum dihubungi jiran memaklumkan rumah mereka terbakar.
“Mereka keluar makan kerana ibu mereka yang hamil anak ketiga mengidam. Saya dimaklumkan, mereka tidak membawa kedua-dua cucunya.
“Anak (ibu kepada kedua-dua beradik itu) masih trauma dan terkejut. Dia kini berada di wad kecemasan selepas kakinya terkena kaca ketika cuba menyelamat dua anaknya,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Selayang, di sini semalam.
Difahamkan, ibu kepada kedua-dua beradik itu tidak bekerja manakala bapa mereka bekerja sebagai pemandu. Kedua-dua beradik itu ditinggalkan kerana mereka tidur.
Sementara itu, datuk mangsa, Lokman Marni, 53, tidak menyangka kenangan meraikan hari jadinya di Sungai Besar, Sabak Bernam pada 26 Disember lalu menjadi pertemuan terakhir dia bersama dua beradik itu.
Katanya, dia telah berulang kali berpesan supaya anak dan menantunya tidak mengunci pintu jeriji rumah apabila mereka keluar ke mana-mana.
“Saya katakan jangan kunci pintu jika keluar kerana bimbang insiden tidak dijangka seperti kebakaran atau apa-apa saja.
“Saya sangat sedih apabila hilang dua cucu sekali gus ketika mereka sedang menunggu kehadiran anak ketiga dalam masa sebulan lagi,” katanya yang memberitahu anaknya menyewa di rumah itu sejak dua tahun lalu.
Sementara itu, tuan rumah yang terbakar tersebut, Rahmat Jabar, 77, berkata, kanak-kanak perempuan terbabit didakwa sempat menghubungi ibu bapanya ketika kebakaran berlaku.
“Ibu mereka menyuruh anak-anaknya masuk ke bilik air. Kebakaran bermula dari ruang tamu, macam mana nak berlari ke bilik air sedangkan api sudah marak.
“Saya sebagai tuan rumah sangat sedih, bukan kerana rumah terbakar tetapi mereka (mangsa) selalu bermain dengan cucu-cucu saya,” katanya. – UTUSAN










