Datuk muflis didakwa tipu beli milikan pegangan pesawat

Datuk muflis didakwa tipu beli milikan pegangan pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas pertuduhan menipu berhubung pembelian milikan pegangan pesawat dan helikopter bernilai melebihi RM7 juta, enam tahun lalu.

Datuk Ismail Hassan, 59, yang masih berstatus muflis turut menghadapi satu pertuduhan lain iaitu memasuki perjanjian pinjaman bagi menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

Pertuduhan pertama, Ismail didakwa menipu seorang ahli perniagaan sehingga mangsa mempercayai tertuduh berniat membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95 AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX) berharga RM7,092,995.

Tertuduh kemudian didakwa menyerahkan dua keping cek Maybank masing-masing bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada ahli perniagaan itu walhal tertuduh mengetahui cek-cek itu tidak boleh ditunaikan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas, di sini pada 21 Februari 2019.

Pertuduhan kedua pula, Ismail didakwa memasuki perjanjian pinjaman bertarikh 29 November 2017 dengan individu sama bertujuan membeli pesawat dan helikopter serupa serta menubuhkan syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat.

Pertuduhan pertama, ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Josiendra Abu Senin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh yang diwakili peguam Datuk Zainal Omar memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya seorang muflis.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes disebut pada 15 Februari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya