CAP gesa elak guna bekas makanan polistirena ketika Thaipusam - Utusan Malaysia

CAP gesa elak guna bekas makanan polistirena ketika Thaipusam

N. V. SUBBAROW (kanan) ketika mengadakan kempen bebas polistirena semasa Thaipusam kepada murid-murid sekolah di Jalan Kebun Bunga, George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pengurusan semua kuil di negara ini supaya tidak menggunakan bekas makanan polistirena semasa menghidangkan makanan kepada penganut ketika perayaan Thaipusam.

Pegawai Pendidikan CAP, N. V. Subbarow berkata, semasa Thaipusam, organisasi amal akan menyediakan makanan percuma sebagai ‘Anna Thanam’ dan kebanyakkan mereka menggunakan bekas yang diperbuat daripada polistirena ketika menghidangkan makanan percuma tersebut.

“Pinggan dan cawan polistirena digunakan secara meluas untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada penganut dengan alasan ia mudah untuk menguruskan orang ramai.

”Disebabkan itu, banyak sampah yang terdiri daripada bekas polistirena dihasilkan setiap tahun dan ramai tidak menyedari sampah daripada polistirena ini mengambil masa sehingga 500 tahun untuk mereput,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Kebun Bunga, di sini hari ini.

Menurutnya, pembungkusan bahan makanan dengan menggunakan bekas polistirena biasanya mengandungi bahan kimia seperti ‘stirena’ yang boleh menjejaskan kesihatan orang ramai.

Jelas beliau, bahan kimia itu boleh berpindah ke dalam makanan apabila makanan masih panas dan akhirnya diserap oleh badan sekali gus boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.

”Sampah polisterina ini apabila dibakar mengeluarkan bahan kimia berbahaya yang sekali lagi menimbulkan ancaman kesihatan kepada pengguna,” katanya.

Tambah beliau, memandangkan Thaipusam adalah perayaan keagamaan, adalah penting penganut agama itu tidak terdedah kepada bahan kimia berbahaya.

”Mengambil kira perkara ini, pengurusan kuil harus memastikan penganut dihidangkan makanan dan minuman dalam bekas terbiodegradasi yang lebih selamat.

”Para penganut juga boleh memainkan peranan dengan membawa bekas sendiri untuk menerima makanan,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, penganut agama Hindu yang menghadiri perayaan Thaipusam juga dinasihatkan tidak membazir makanan sepanjang perayaan itu berlangsung.

”Pada 2020, kita dapati kira-kira 70 tan makanan dibuang dan kita tidak mahu perkara sama berulang tahun ini, justeru, kami menyeru penganut mengambil makanan sekadar perlu sahaja dan tidak membuang makanan yang telah diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya