Cabul: Bekas ADUN Sedili dibebas, dilepaskan

Cabul: Bekas ADUN Sedili dibebas, dilepaskan

RASMAN ITHNAIN (tengah) menzahirkan kesyukuran terhadap keputusan Mahkamah Majistret Muar yang melepas dan membebaskan beliau daripada kes cabul pada Januari tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR:  Mahkamah Majistret Muar hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain, 54, daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, Januari tahun lalu.

Majistret, Analia Kamaruddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie kepada tertuduh.

Analia dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat setelah menilai kebolehpercayaan saksi-saksi pihak pendakwaan secara maksimum sepanjang perbicaraan.

“Oleh yang demikian, tertuduh dilepaskan serta dibebaskan dan wang jaminan dikembalikan semula,” katanya ringkas dalam prosiding berkenaan.

Terdahulu, Rasman yang hadir dengan memakai kemeja putih dan kot biru menzahirkan kesyukuran serta perasaan lega atas keputusan mahkamah tersebut.

“Saya bersyukur kerana keputusan ini dapat membersihkan nama baik diri saya dan keluarga.  Saya bersyukur kerana masalah ini selesai kerana jika tidak nama saya tercalar dalam keadaan berpolitik sudah tiga penggal dan akhirnya saya tidak dapat bertanding.

“Apabila dituduh saya reda dan (dengan keputusan mahkamah) saya rasa nama baik saya dan keluarga sudah dikembalikan semula.

“Respons keluarga saya selepas diberitahu berita kemenangan ini masing-masing menelefon dan memberikan sokongan termasuk dalam kalangan besan dan menantu,” katanya sambil memaklumkan tidak berdendam terhadap pemfitnahnya kerana tiada siapa yang tahu pihak yang menjadi dalang dalam kes tersebut.

Beliau menganggap kes itu sebagai suatu siri ujian terhadap dirinya dan keluarga, namun akan terus komited dalam berbakti kepada rakyat.

“Selepas ini saya akan teruskan semula kehidupan tanpa rasa tekanan dan akan kembali semula ke dunia politik,” katanya yang menjadi ADUN Sedili selama tiga penggal, iaitu sejak 2008 hingga 2022.

Beliau tidak bertanding  dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu. 

Prosiding dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Hayatul Wirdah Mohd. Yunos, manakala Rasman diwakili peguam bela Muhammad Mohd. Nasir, Muhammad Izzad Syafiq Ismail dan Mohamad Alias Rasman.

Seramai empat saksi pendakwaan dipanggil memberikan keterangan sepanjang perbicaraan  sejak Januari tahun lalu.

Rasman yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Tinggi sebelum ini menghadapi pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita berusia 27 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan wanita berkenaan dalam sebuah kenderaan Toyota Vellfire kira-kira pukul 5 petang pada 13 Januari 2022.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat  atau mana-mana daripada dua seksaan itu jika sabit kesalahan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN