PETALING JAYA: Pembubaran serentak Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri tidak bermakna pilihan raya negeri (PRN) perlu dilaksanakan pada satu tarikh yang sama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, segala kekangan tetap boleh dielakkan sekiranya pembubaran enam negeri itu dilakukan dalam tempoh atau minggu yang sama.
Katanya, ini kerana keputusan menetapkan tarikh pengundian memerlukan ia diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran terletak di bawah bidang kuasa SPR.
“Misal kata ada DUN bubar satu hari bulan dan satu lagi DUN bubar lima hari bulan, tetapi keputusan bila mahu buat penamaan calon hari pengundian itu bidang kuasa SPR, jadi SPR masih lagi boleh buat pengundian serentak,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, enam negeri di bawah pentadbiran Pas dan Pakatan Harapan itu diharap dapat membubarkan DUN dalam tempoh masa yang sama demi kepentingan kesejahteraan negara, penjimatan wang, tenaga, masa dan ketenteraman.
Beliau berkata, ini kerana SPR tidak boleh menunggu sehingga semua DUN dibubarkan sebelum membuat keputusan untuk tarikh pengundian.
“Ini kerana apabila sesuatu DUN bubar oleh Speaker Kerajaan Negeri berkenaan, maka dalam tempoh 60 hari SPR perlu mengadakan pilihan raya seperti yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.
“Kalau mereka tidak bubar serentak, maka tempoh 60 hari itu tetap berjalan juga, jadi SPR tak boleh buang masa melengah-lengahkan atau menunggu negeri itu bubar,” katanya. – UTUSAN










