KOTA KINABALU: Bekas Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khairul Firdaus Akbar Khan mengharapkan yang terbaik dalam kemelut melibatkan beliau dan tiga lagi bekas wakil rakyat parti itu yang melompat parti sebelum ini.
Ahli Parlimen Batu Sapi itu sekali lagi menyatakan, beliau menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat mengenai status kekosongan kerusi mereka.
“Kita doakan yang baik-baik saja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan pimpinan Bersatu mengambil tindakan semakan mahkamah sekiranya keempat-empat bekas ahli Parlimen Bersatu itu tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.
Selain Khairul Firdaus, tiga lagi Ahli Parlimen ialah Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).
Khairul Firdaus yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, setakat ini, beliau tidak ada menerima sebarang surat daripada pimpinan Bersatu mengenai keperluan mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Keempat-empat bekas ahli Parlimen Bersatu itu digesa oleh Bersatu mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing selepas kesemua pimpinan Bersatu Sabah mengumumkan keluar daripada parti pada 10 Disember lalu.
Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul meminta persoalan berhubung status empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu dirujuk kepada Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
Katanya, beliau telah membalas notis yang dikemukakan Ahli Parlimen Beluran itu kelmarin.
“Apa-apa pun tanya beliau, saya tidak akan jawab kepada media,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN










