Bayi tidak sedarkan diri dipercayai lemas ketika tidur

Bayi tidak sedarkan diri dipercayai lemas ketika tidur

peniaga lemas

PETALING JAYA: Tiada elemen kekerasan ditemukan berhubung kes seorang bayi lelaki berusia tiga bulan yang meninggal dunia ketika berada di sebuah pusat asuhan di Bandar Baru Bangi, dekat sini, kelmarin.

Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, siasatan awal mendapati kematian anak bongsu daripada empat beradik itu dipercayai lemas ketika tidur.

Kata sumber itu, bayi berkenaan dikatakan tidur dalam keadaan dibedung namun sepanjang tempoh itu dia dipercayai bergerak sehingga tertiarap.

“Pekerja di pusat asuhan berkenaan hanya menyedari bayi berkenaan tidak sedarkan diri selepas memeriksa keadaannya yang sedang tidur. Melihat keadaan tersebut, mereka membawa bayi tersebut ke Klinik berdekatan untuk pemeriksaan,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi berkata, bedah siasatan bayi berkenaan dijalankan petang semalam bagi mengetahui punca kematian sebenar.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, bayi berkenaan dikatakan menerima rawatan kecemasan di sebuah hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN