Bantuan makanan percuma kepada pelajar di Terengganu bernilai RM1 juta - Utusan Malaysia

Bantuan makanan percuma kepada pelajar di Terengganu bernilai RM1 juta

AHMAD Azrin Adnan (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek program 'Dapo MAIDAM@School' kepada Abdul Muie Ngah di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu memperuntukkan RM1 juta untuk bantuan makanan percuma kepada pelajar sekolah menengah di negeri ini pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan berkata, program ‘Dapo MAIDAM@School‘ itu akan memberi manfaat kepada 25,000 pelajar yang kurang berkemampuan.

Menurut beliau, sebanyak 134 buah sekolah menengah terlibat dan pelajar yang layak dipilih oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu  (JPNT).

Katanya, program itu dilaksanakan bagi meringankan beban pelajar daripada keluarga miskin dan B40 dengan lapan kali penyediaan makanan percuma.

“Program itu diperkenalkan selepas mendapati ramai murid daripada kalangan keluarga miskin yang tidak mampu menyediakan sarapan atau makan tengah hari di rumah.

“Sebaik agihan ini diberikan, sekolah terlibat boleh melaksanakan secara mingguan atau bulanan, terpulang kepada penyelarasan pihak sekolah,” katanya.

Beliau berkata selepas majlis penyerahan replika cek Program ‘Dapo MAIDAM@School‘ kepada Pengarah JPNT, Abdul Muie Ngah di sini, hari ini.

Ahmad Azrin berkata, program ‘Dapo MAIDAM@School’ itu difokuskan kepada pelajar sekolah menengah memandangkan murid sekolah rendah sudah menerima bantuan melalui Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Kami berhasrat meneruskan program ini jika ada keperluan pada masa akan datang,”  ujarnya.

Sementara itu, Abdul Muie pula memberitahu, bantuan agihan makanan itu membantu golongan pelajar yang terlibat kekal aktif di sekolah tanpa sebarang gangguan.

Menurut beliau, proses pembelajaran di dalam kelas juga tidak terganggu dengan bekalan makanan berkhasiat sekaligus meningkatkan prestasi akademik pepajar berkenaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya