Banjir semakin buruk, 6,453 mangsa dipindahkan di Sabah

Banjir semakin buruk, 6,453 mangsa dipindahkan di Sabah

KEADAAN perkampungan yang terjejas banjir di Kota Marudu, Sabah.-SUMBER MEDIA SOSIAL

KOTA KINABALU: Mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 6,453 orang berbanding 1,421 orang mangsa yang dilaporkan semalam.

Sehingga pukul 4 petang ini, seramai 6,453 mangsa daripada 2,209 keluarga dipindahkan ke 26 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di empat daerah iaitu Kota Marudu, Kudat, Paitan dan Pitas.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan daerah yang paling teruk terjejas adalah Kota Marudu dengan seramai 4,789 mangsa daripada 1,731 keluarga dipindahkan ke 11 buah PPS.

Daerah kedua yang terjejas teruk adalah Kudat yang memperlihatkan seramai 739 mangsa daripada 171 keluarga dipindahkan ke dua buah PPS.

Mangsa yang paling ramai adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ranau, Kota Marudu dengan seramai 1,280 mangsa daripada 343 keluarga dipindahkan ke PPS berkenaan.

Sementara itu, seramai 554 orang daripada 206 keluarga dipindahkan di Pitas manakala, 371 mangsa daripada 98 keluarga dipindahkan di Paitan.

Seramai 18 orang mangsa daripada tiga keluarga yang terjejas banjir di Lahad Datu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana banjir di kawasan mereka semakin surut.

Kawasan sering dilanda banjir di negeri ini mula dinaiki air susulan hujan lebat yang berlaku sejak Selasa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, laluan utama Pitas ke Kota Marudu masih belum dapat dilalui oleh kenderaan kecil.-UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN