Bangunan Tabika Kemas dibina lebih tinggi di lokasi banjir - Utusan Malaysia

Bangunan Tabika Kemas dibina lebih tinggi di lokasi banjir

RUBIAH Wang (dua, kanan) menyampaikan kit bantuan banjir kepada salah seorang mangsa banjir di Kampung Kuala Jengai, Dungun. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan membina Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dengan struktur bangunan lebih tinggi di kawasan berisiko banjir di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, ia merupakan perancangan jangka panjang bagi mengurangkan kos kerugian dan kerosakan yang terpaksa dialami ekoran bencana tersebut.

“Pada masa akan datang, sekiranya ada keperluan untuk membina Tabika Kemas terutamanya di kawasan berisiko banjir, kita akan bina di lokasi lebih selamat atau membina bangunan yang lebih tinggi dengan bertiang.

“Kita juga mempunyai pelan pembinaan tabika yang bertiang dengan kedudukan kelas lebih tinggi dan di bawah bangunan itu boleh dijadikan pusat aktiviti untuk kanak-kanak,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tabika Kemas Kampung Kuala Jengai di Hulu Dungun dekat sini, hari ini.

Tabika Kemas tersebut merupakan salah sebuah tabika yang terjejas teruk dalam kejadian banjir besar, baru-baru ini.

Rubiah berkata, setakat ini pihaknya mengenal pasti 310 Tabika Kemas di seluruh negara yang terjejas banjir dengan sebahagian besar di Pantai Timur.

“Kita masih mengenal pasti keseluruhan tabika yang terlibat dengan kos kerugian. Sebahagian tabika ini bangunannya dimiliki kementerian, ada sesetengahnya bangunan disewa,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pembersihan di Tabika Kemas terlibat banjir telah dilakukan dan sesi pembelajaran di seluruh negara berjalan lancar.

Rubiah berkata, pihaknya juga sedang membuat penilaian kos baik pulih dan kerosakan jalan dan infrastruktur lain di bawah kementeriannya yang turut terlibat banjir.

“Kita jangkakan semua agensi di bawah kementerian akan memberikan laporan kerosakan dan kerugian akibat banjir dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya