Armel Aufa derita Sindrom DiGeorge

Armel Aufa derita Sindrom DiGeorge

ABU Bakar Othman bersama Armel Aufa ketika mendapat rawatan di Hospital Melaka. – FOTO/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang suami isteri berdepan dugaan menjaga anak berusia tiga tahun, Armel Aufa Abu Bakar yang menghidap Sindrom DiGeorge sejak dilahirkan.

Bapa kanak-kanak itu, Abu Bakar Othman, 39, dan isteri­nya, Jamilah Aziz, 36, akur de­ngan takdir apabila anak bongsu mereka itu sering keluar masuk Hospital Melaka.

Jamilah berkata, dia dan suami tidak pernah berputus asa menjaga Armel Aufa yang sejak dilahirkan turut menghidap jantung berlubang, masalah sistem imun, masalah pernafasan, buah pinggang, wajah yang be­rubah dan sumbing akibat Sindrom DiGeorge.

Katanya, kini anaknya berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) dan telah ditidurkan sejak dimasukkan ke Hospital Melaka selepas dijangkiti metapneumovirus, 6 Janua­ri lalu.

“Keadaannya sangat kritikal na­mun kami tetap berharap Armel da­pat pulih sepenuhnya dan kami tidak tahu berapa lama dia akan berada di Hospital Melaka.

“Kami tidak pernah putus asa mengharapkan anak saya dapat pulih dan hidup seperti kanak-kanak seusia dengannya. Sejak dilahirkan memang rumah pertamanya adalah Hospital Melaka dan paling lama dia mendapat rawatan di sini selama 321 hari sejak dilahirkan pada 2020.

“Ketika ini benar-benar me­nguji kami, namun kami tidak pernah putus asa dan sering berdoa semoga cepat sembuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Tuah Perdana, Bukit Katil di sini.

Menurut Jamilah, selepas 321 hari dirawat, Armel Aufa pulih namun masih memerlukan penjagaan rapi di rumah dengan bekalan pelbagai jenis ubatan, mesin oksigen dan sebagainya.

Keadaan itu katanya, memak­sa dia berhenti kerja di sebuah syarikat swasta demi menjaga anaknya.

Jelasnya, mereka berdepan ma­salah kewangan kerana pendapatan suami tidak mencukupi walaupun bekerja sebagai penghantar notis di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Setiap bulan kami perlukan RM2,000 untuk membeli ubat, tiub sedut kahak pakai buang, lampin pakai buang dan susu. Rumah dan kereta perlu dibayar begitu juga perbelanjaan dua anak lain berusia 11 dan 7 tahun yang bersekolah.

“Kami hanya mendapat sumbangan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan permohonan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) pula ditolak disebabkan suami adalah kakitangan awam,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun RHB 10401800405991 (Jamilah Aziz). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya